RM3.83 Juta scammer

Wanita Terpaksa Berputih Mata, Wang Simpanan RM3.83 Juta Licin Ditipu “Scammer”

Seorang wanita warga emas mengalami kerugian mencecah RM3.83 juta selepas diperdaya oleh sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, wanita berusia 70 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada seorang suspek yang mengaku sebagai ejen insurans sekitar November 2022 lalu.

Tambah Datuk Hussein, suspek memberitahu mangsa bahawa terdapat tuntutan insuran yang telah dibuat menggunakan nama mangsa, namun mangsa sempat menafikannya.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada ‘pihak polis’ dan individu itu mendakwa nama mangsa terlibat aktiviti pengubahan wang haram.

“Khuatir dirinya ditangkap pihak berkuasa, mangsa hanya menuruti apa sahaja arahan diberikan oleh ahli sindiket terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya lagi, suspek kemudiannya meyakinkan mangsa untuk membuka akaun bank baharu dan mendaftarkan satu nombor telefon yang diberikan oleh suspek.

Nombor itu diberikan bagi menjalankan urusan perbankan dalam talian oleh mangsa.

Mangsa seterusnya diminta untuk menyerahkan nombor akaun berkenaan kononnya bagi tujuan siasatan oleh suspek.

Selain itu, mangsa juga telah diarahkan untuk memindahkan semua wang miliknya ke dalam akaun baharu terbabit.

Mangsa juga tidak dibenarkan untuk mengakses akaun itu buat beberapa bulan.

“Mangsa turut diarahkan supaya menghapuskan kesemua resit transaksi kemasukan wang ke dalam akaun terbabit,” jelasnya

Difahamkan, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas mendapati akaun banknya hanya berbaki RM79.59.

Perkara itu diketahui selepas mangsa membuat semakan akaun bank pada Rabu lalu.

“Mangsa kerugian RM3.83 juta selepas wang persaraan, simpanan tetap, akaun amanah dan gadaian emas dipindahkan ke akaun baharu terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Hussein mengingatkan bahawa tiada panggilan telefon daripada satu syarikat, agensi atau jabatan kerajaan yang boleh memindahkan wang pelanggan.

Kes tersebut kini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas

Sumber: Sinar Harian

The post Wanita Terpaksa Berputih Mata, Wang Simpanan RM3.83 Juta Licin Ditipu “Scammer” appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *