Sindiket phone scam sering menjadi masalah sejak dahulu lagi. Kebanyakan mangsa yang ‘terjerat’ dengan masalah ini adalah daripada golongan wanita, warga emas, pesara kerajaan mahupun swasta dan lain-lain.

Kerugian yang dihadapi juga selalunya melibatkan ratusan ribu hinggalah jutaan ringgit.

Artikel berkaitan: Terpengaruh Dengan Pulangan Lumayan, Pegawai Bank Kena ‘Scam’ RM100,000

Artikel berkaitan: Kakitangan Kerajaan Hilang RM852,000 Ditipu Scammer, Baki Dalam Bank Tinggal RM48

Terbaru, seorang pesara wanita syarikat swasta di Subang Jaya telah menjadi salah seorang mangsa phone scam. Kerugian yang ditanggung olehnya adalah jumlah yang sangat besar iaitu RM3.83 juta, lalu menjadikan wang simpanannya hanya tinggal RM79.59.

Menurut laporan Sinar Harian, wanita berusia 70 tahun itu didakwa oleh suspek sindiket kerana terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata mangsa telah menerima satu panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali. Suspek mengaku dirinya sebagai ejen insurans sekitar bulan November 2022.

Gilles Lambert Pb Lf8Vwapu Unsplash
Gambar hiasan

Menurut mangsa, suspek menyatakan bahawa terdapat tuntutan insurans yang dibuat menggunakan namanya namun mangsa menidakkannya.

Kemudian, panggilan itu disambungkan kepada ‘pihak polis’ yang mendakwa kononnya nama warga emas itu terlibat aktiviti pengubahan wang haram dan mangsa boleh ditangkap.

Disebabkan itu, mangsa menjadi takut kerana mengkhuatiri dirinya akan ditangkap pihak berkuasa maka dia menurut sahaja semua arahan yang diberikan oleh suspek.

Tambah Hussein, suspek telah meyakinkan warga emas itu untuk membuka akaun bank baharu serta mendaftar satu nombor telefon yang diberikan oleh suspek bertujuan untuk urusan perbankan dalam talian.

Selain itu, wanita tersebut diarah untuk menyerahkan nombor akaun serta butiran bank yang lain kononnya bagi tujuan siasatan serta disuruh untuk memindahkan semua wang miliknya ke dalam akaun itu.

Bagi menghapuskan bukti, suspek telah menyuruh mangsa untuk menghapuskan kesemua resit transaksi kemasukan wang ke dalam akaun itu serta tidak dibenarkan untuk mengakses akaun itu dalam beberapa bulan.

Malangnya, wanita warga emas ini menyedari dirinya ditipu selepas dia menyemak baki akaunnya hanya tinggal RM79.59. Kerugian sebanyak RM3.83 juta itu adalah wang persaraan, simpanan tetap, akaun amanah dan gadaian emas.

Hussien juga ada menasihatkan orang ramai bahawa tiada panggilan telefon daripada mana-mana syarikat, agensi mahupun jabatan kerajaan yang boleh disambung daripada satu pihak ke pihak yang lain.

Pihak polis juag tiada menjalankan apa-apa siasatan secara atas talian malah jauh sangat menyuruh orang ramai memindahkan wang mereka bagi tujuan siasatan.

Sumber: BERNAMA, Sinar Harian

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *