Usaha konkrit pelbagai hala

Usaha Konkrit Pelbagai Hala Oleh PBB Diperlukan Untuk Selesai Konflik Di Ukraine, Palestin, Afghanistan Dan Myanmar

NEW YORK, 22 Sept (Bernama) — Dengan konflik dan krisis kemanusiaan di beberapa negara seperti Ukraine, Palestin, Afghanistan dan Myanmar masih jauh daripada penyelesaian, Malaysia menggesa supaya satu usaha konkrit pelbagai hala bersepadu yang diterajui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) digerakkan bagi menyelesaikannya.

Dalam gesaannya itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dunia kini amat terpolarisasi, dengan persaingan negara kuasa besar berlaku, yang natijahnya akan memberi kesan negatif kepada pelbagai negara, terutamanya negara-negara yang lebih kecil di rantau kawasan berkonflik itu.

“Hasilnya ialah kita berhadapan dengan dilema geopolitik dan geostrategik. Walaupun negara kuasa besar terus memberi jaminan bahawa tiada kata dua akan diberikan, namun realiti bagi kebanyakan pihak ialah, ini satu-satunya pilihan yang akan ditawarkan mereka,” katanya.

Dalam menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia itu pada Sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat PBB Jumaat, Anwar berkata beliau bimbang keadaan sedemikian akhirnya akan membawa sekali lagi kepada dunia yang menyaksikan rakyat tidak diwakili sesiapa, dan hanya segelintir pihak memerintah kelompok yang banyak.

Sesi itu dipengerusikan oleh Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad.

Dengan merujuk kepada konflik Ukraine-Rusia, Anwar berkata ia menekankan keperluan untuk berdamai dan menyelesaikan perbezaan secara baik melalui rundingan.

“Kita tidak boleh memilih siapa jiran kita, tetapi kita boleh memilih untuk hidup aman dengan mereka, dan keamanan tidak boleh berlaku tanpa semua pihak menghentikan permusuhan. Adalah penting bagi semua pihak untuk kembali berdialog dan menyelesaikan perselisihan mereka menerusi meja rundingan,” katanya.

Perdana menteri berkata dunia perlu mencari penyelesaian kepada konflik itu dengan pantas memandangkan konflik Ukraine telah tersebar ke seluruh dunia, apabila harga makanan melambung tinggi, yang membawa kepada kekurangan bekalan dan kelaparan, kekurangan zat makanan dan penderitaan.

“Satu lagi konflik yang terus menghantui masyarakat antarabangsa ialah Palestin, yang menyaksikan politik rampasan berterusan dengan dendam kesumat, dan lebih banyak penempatan haram dibina, merampas tanah daripada rakyat Palestin yang merupakan pemilik sebenar,” kata Anwar.

“Terdapat juga sikap hipokrit yang nyata dalam menangani isu Palestin. Masyarakat antarabangsa mesti bersuara menentang kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, lebih-lebih lagi semasa mereka bersuara keras menentang pencabulan hak asasi manusia, ketidakadilan dan rejim yang kejam,” tambahnya.

Merujuk kepada Afghanistan, Anwar berkata Malaysia kekal amat prihatin dengan situasi kemanusiaan yang amat menyedihkan di negara itu, dengan bencana kemarau berlarutan untuk tahun ketiga berturut-turut.

Perdana menteri berkata Malaysia komited untuk meneruskan hubungan sesama rakyat sedia ada dengan Afghanistan, termasuk menerusi penyaluran bantuan kemanusiaan, namun pada masa yang sama menyeru agar pihak berkuasa negara itu untuk menolak dasar pengecualian dan diskriminasi terhadap kaum wanita dan gadis.

“Menafikan hak mereka untuk bersekolah adalah sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam, apatah lagi jelas melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan rangka kerja pelbagai hala hak asasi manusia. Tindakan itu juga amat memudaratkan masa depan Afghanistan,” tambahnya.

Merujuk kepada isu yang lebih dekat dengan tanah air, Anwar berkata Malaysia amat terkejut dengan keganasan dan ketidakstabilan pasca rampasan kuasa yang berterusan di Myanmar.

Menurutnya sokongan masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah penting, untuk menekan pihak berkuasa tentera negara itu supaya mengubah haluan mereka.

Semasa prinsip pusat ASEAN menetapkan bahawa kekejaman berterusan mesti ditamatkan, Malaysia menyeru Myanmar untuk segera melaksanakan konsensus lima perkara ASEAN ke arah mencapai keamanan dan kestabilan di negara itu.

BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berkongsi usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim bagi mencapai Agenda 2030, pelan hala tuju negara di bawah rangka kerja Malaysia MADANI serta beberapa isu global lain.

Ini adalah penampilan pertama Anwar sebagai perdana menteri pada perhimpunan tahunan itu.

Tema debat umum tahun ini ialah “Membina Semula Kepercayaan dan Memupuk Semula Solidariti Global: Mempercepatkan Tindakan ke atas Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampannya Ke Arah Keamanan, Kemakmuran, Kemajuan dan Kemampanan Untuk Semua”.

Turut hadir di sini ialah isteri perdana menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa; dan beberapa Ahli Parlimen serta pegawai-pegawai kerajaan.

Sumber: BERNAMA

The post Usaha Konkrit Pelbagai Hala Oleh PBB Diperlukan Untuk Selesai Konflik Di Ukraine, Palestin, Afghanistan Dan Myanmar appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *