tunku ismail pemangku sultan johor

Tunku Ismail Dilantik Pemangku Sultan Johor

JOHOR BAHRU, 28 Jan (Bernama) — Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan melantik anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Sultan Johor hari ini.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli berkata pelantikan tersebut dibuat berdasarkan Fasal 9 (1)(d) dan (3) dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim dengan nasihat dan pesertaan Jumaah Majlis DiRaja telah berkenan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor, Tunku Mahkota Johor Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Sultan bagi Negeri Johor Darul Ta’zim pada hari Ahad, 28 Jan 2024 bersamaan 16 Rejab 1445 Hijrah di Istana Bukit Serene.

“Pelantikan itu hendaklah berterusan untuk selama DYMM Tuanku menjalankan kerja-kerja Yang di-Pertuan Agong,” kata beliau dalam percanangan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi Sultan Johor hari ini.

Abdul Rahim berkata Sultan Johor juga berkenan gelaran kehormatan bagi Pemangku Sultan iaitu DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

BACA: Malaysia vs Korea Selatan Calon Anugerah “Best Match Of The Group Stage”

Beliau berkata gelaran tersebut hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk persuratan, ucapan dan doa.

Tunku Ismail, 39, yang diputerakan pada 30 Jun 1984 di sini, merupakan putera sulung Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah daripada enam paduka anakanda.

Sebelum pelantikan hari ini, baginda pernah diamanahkan menjadi Pemangku Raja beberapa kali dengan kali terakhir pada 16 Jun 2022 ketika Sultan Ibrahim berehat seketika daripada menjalankan tugas serta mentadbir Johor.

Tunku Ismail mendirikan rumah tangga dengan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor pada 24 Okt 2014.

Pasangan diraja itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu dua putera dan dua puteri iaitu Tunku Khalsom Aminah Sofiah, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim, Tunku Abu Bakar Ibrahim dan Tunku Zahrah Zarith Aziyah.

Sumber: BERNAMA

The post Tunku Ismail Dilantik Pemangku Sultan Johor appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *