Tiada Sebarang Arahan Kepada AGC Dalam Kes Ahmad Zahid Dilepas Tanpa Dibebas - PM Anwar

Tiada Sebarang Arahan Kepada AGC Dalam Kes Ahmad Zahid Dilepas Tanpa Dibebas – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) — Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak memberi sebarang arahan kepada Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Katanya selaku Perdana Menteri, beliau tahu kesan daripada keputusan yang dibuat oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap kestabilan politik dan negara tetapi akur dengan penjelasan Idrus yang tidak mahu melepaskan tanggungjawab dalam menguruskan kes itu kepada penggantinya.

“Saya nak jelaskan, tidak ada arahan kepada Peguam Negara. Dia terlibat dalam meneruskan pendakwaan… kemudian dia baca dokumen bocor yang ditulis oleh AGC yang menyatakan tak bersetuju dengan pendakwaan.

“Tentunya sebagai Perdana Menteri, saya tahu kesan daripada tuduhan yang dilemparkan susulan keputusan tersebut, malah saya terpaksa tanya panjang lebar kepada Peguam Negara kenapa keputusannya begitu serta kenapa sekarang?” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Seri Petaling dekat sini hari ini.

Isnin lepas, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat itu.

BACA: Elak Kemalangan, Ketahui Fungsi Garisan Di Lebuhraya & Cara Tukar Lorong Dengan Betul

Sumber: Bernama

The post Tiada Sebarang Arahan Kepada AGC Dalam Kes Ahmad Zahid Dilepas Tanpa Dibebas – PM Anwar appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *