bil cukai tanah manual

Tiada Bil Cukai Tanah Dikeluarkan Secara Manual Bermula 2024

IPOH, 28 Ogos (Bernama) — Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak memaklumkan bermula tahun 2024, semua bil cukai tanah negeri itu tidak lagi akan dikeluarkan secara manual.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkara itu selaras dengan istilah modenisasi, apabila proses kerja berubah dari manual kepada sistem pendigitalan.

“Bil akan dihantar secara dalam talian melalui e-mel atau mereka boleh semak di laman sesawang Portal Awam e-Tanah, yang mana segala sejarah urusan berkaitan tanah yang dimiliki akan disimpan dan boleh menjadi rujukan pada masa hadapan.

“Sehubungan itu, pengguna seluruh negeri diminta untuk mendaftar di e-Tanah, bagi membolehkan penerimaan bil secara dalam talian (e-bil) dan setakat ini lebih 50, 000 telah mendaftar,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Tanah Negara Peringkat Negeri Perak, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pengarah PTG Perak Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

BACA JUGA: Cara Mudah Kesan Tanah Lot Guna Aplikasi MyLot

Saarani berkata PTG komited dalam mendigitalkan perkhidmatannya, termasuk menggalakkan pelanggan ke arah transaksi secara dalam talian dan menambah baik sistem e-tanah, selaras dengan perkembangan dunia ke arah pendigitalan.

“Jadi kita galakkan semua pengguna untuk mendaftarkan id pengguna, agar memudahkan segala urusan berkaitan tanah melibatkan jabatan itu, agar kita seragamkan seperti bil elektrik dan bil air ketika ini boleh dilakukan dalam talian.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai akses internet atau kurang mahir, maka boleh meminta bantuan ketua kampung atau setiausaha JKK, termasuk pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing,” katanya.

Saarani berkata dari segi kutipan cukai, berbanding tahun 2021 dan 2022, momentum kutipan cukai meningkat malah untuk tahun ini, sejak diperkenalkan pada Februari sehingga Julai kutipan cukai tanah juga meningkat berbanding tahun sebelumnya.

“Dulu berbeza dengan sistem manual, kerana mereka perlu ke kaunter dan urusan itu kadang kala perlu seharian untuk mereka selesaikan urusan tadi, tapi sekarang lebih mudah dan senang.

“Mereka tidak perlu lagi datang ke kaunter, kerana segala maklumat telah kita sediakan platform untuk memudahkan lebih kurang 2 juta pengguna di negeri Perak,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Tiada Bil Cukai Tanah Dikeluarkan Secara Manual Bermula 2024 appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *