restoran jus oren air paip

“Terasa Muak” Restoran Ditangkap Campur Jus Oren Dan Air Paip Dalam Besen Mop Lantai

Sebuah restoran di China memohon maaf selepas ditangkap melakukan perkara terkutuk apabila seorang pekerja dirakam mencampur jus oren dengan air paip di dalam besen yang digunakan untuk mop lantai.

Lapor Today Online, perbuatan itu dirakam oleh seorang pelanggan ketika dia singgah makan di restoran yang terletak di wilayah Zhejiang pada 25 Ogos lalu.

Dalam video tersebut, ia menunjukkan seorang pekerja sedang restoran meletakkan periuk berisi jus oren pekat ke dalam besen yang digunakan untuk mencuci mop lalu menambah air paip.

Kemudian, kelihatan sebatang penyapu dan mop berdekatan dengan besen itu manakala tong sampah yang penuh dengan sisa makanan juga berada di kawasan tersebut.

Sebagai tindak balas kepada skandal itu, restoran tersebut mengeluarkan permohonan maaf pada 26 Ogos dengan mengatakan bahawa pekerja terbabit telah digantung kerja dan pengurus telah diturunkan pangkat.

Sementara itu, bagi menambah pengetahuan mengenai kualiti makanan, pihaknya turut menghantar pekerja tersebut ke kursus makanan.

Restoran itu juga berkata bahawa ia akan mengukuhkan lagi prosedur keselamatan makanannya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa pasaran tempatan yang bertanggungjawab untuk mengawasi peraturan keselamatan berkata bahawa ia telah menghantar pegawai penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat dan memfailkan kes tersebut kepada pihak berkuasa.

“Siasatan seterusnya akan dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan, perkara itu akan ditangani dengan serius,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA: Tujuh Ditahan Berhubung Insiden Gaduh Di Restoran Pandan Indah

Perkara tersebut kemudiannya menjadi tular selepas mendapat perhatian orang ramai dan mencetuskan kemarahan penduduk di China.

Siaran video Weibo yang dimuat naik pada 27 Ogos telah menerima pelbagai reaksi mengenai insiden itu dengan mendapat tontonan lebih daripada 650,000 dan tanda suka sebanyak 2,000.

Walau bagaimanapun skandal keselamatan makanan di sekolah dan restoran kerap menjadi tajuk utama di China.

Pada Jun lalu, sebuah tadika di wilayah tenggara Jiangxi telah ditutup apabila seorang kakitangan dirakam sedang membersihkan pinggan mangkus dan perkakas kanak-kanak dalam tempat pembuangan najis.

Manakala, pada bulan yang sama kepala tikus ditemui dalam hidangan kantin pelajar di wilayah yang sama.

Bagaimanapun, sesetengah pihak menafikan bahawa ia adalah kepala tikus dan mengatakan ia adalah leher itik.

Sumber: Today Online

The post “Terasa Muak” Restoran Ditangkap Campur Jus Oren Dan Air Paip Dalam Besen Mop Lantai appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *