Tali lif terputus bali

Tali Lif Terputus, Lima Pekerja Resort Di Bali Maut

Indonesia – Seramai lima orang pekerja di sebuah resort di Ubud, Bali dilaporkan meninggal dunia selepas tali rel lif yang dinaiki oleh mereka terputus dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Memetik laporan CNN Indonesia, insiden yang berlaku di Kabupaten Gianyar itu memperlihatkan tali yang diperbuat daripada keluli putus dan menyebabkan lif tersebut bergerak laju ke bawah.

Ketua polis Ubud Komisioner I Made Uder mengesahkan kelima-lima pekerja tersebut meninggal dunia.

“Tali itu tidak cukup kuat untuk menarik beban ke atas yang agak berat dan breknya tidak berfungsi. Ia sekaligus menyebabkan lif terbabit bergerak ke bawah pada kelajuan tinggi,” katanya.

Gambar: Detik News

Tambahnya, dua mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian manakala tiga lagi meninggal ketika menjalani rawatan di Hospital Payangan, Gianyar, lapor Antara News.

BACA; Tular Rakaman Wanita Terjatuh Celah Lif, Tak Sedar Pintu Terbuka Di Ruang Tak Berlantai

Dalam pada itu, seorang saksi berkata dia melihat kesemua mangsa memasuki lif tersebut dan naik ke atas. Bagaimanapun, tidak lama kemudian dia terdengar jeritan dan bunyi yang sangat kuat seakan ada sesuatu yang terhempas ke tanah.

Dia bersama pekerja yang lain turut memeriksa lokasi lif dan mendapati tali lif tersebut telah putus.

Mereka kemudiannya menuruni tangga dan melihat lima pekerja terbaring di atas tanah.

“Tiga mangsa masih bernafas ketika itu, saksi dan pekerja yang lain membawa mangsa-mangsa tersebut ke hospital,” kata Made Uder lagi.

Gambar: Detik News

Sementara itu, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati panjang rel lif terbabit adalah lebih kurang 60 meter dalam kedudukan condong dengan kecerunan lif 35 darjah.

“Tiub lif remuk dan pecah, pagar keselamatan yang diperbuat daripada kayu musnah dan lantai tembok keselamatan turut hancur,” katanya lagi.

Sehingga kini, pihak polis masih menyiasat kes itu termasuk meneliti kemungkinan kecuaian pihak resort dalam kejadian itu.

Terdahulu, seorang wanita dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh di celahan lif dalam kejadian di Bandara Kualanamu, Sumatera Barat beberapa bulan lalu.

Mangsa dipercayai tidak sedar bahawa pintu lif tersebut terbuka di ruang tak berlantai, menyebabkannya terjatuh ke bawah setelah melangkah keluar dari lif itu.

Sumber: CNN Indonesia, Antara News

BACA JUGA: Siap Boleh “Training” Sekali, Buat Macam Ni Kalau Nak Dapat Percutian EPL Di England

The post Tali Lif Terputus, Lima Pekerja Resort Di Bali Maut appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *