Suami isteri peluk islam

Suami Isteri Peluk Islam, Ikut Jejak Anak Enam Tahun Lalu

KUBANG PASU — Pasangan suami isteri terbuka hati untuk melafazkan kalimah syahadah pada 26 Mei lalu, enam tahun selepas anak sulung mereka memeluk Islam pada umur 11 tahun, lapor Sinar Harian.

Menurut penduduk Pekan Tunjang, Lim Hun Kheng atau nama Islamnya, Abdul Rahman Kheng, 51, dan isterinya Wandee Sandaesa, 45, atau nama Islam Nur Wandee mengambil keputusan itu selepas mendapat hidayah melalui mimpi kira-kira dua minggu lalu.

Ujarnya, dia telah mengucapkan kalimah syahadah di sebuah pejabat agama sewaktu di dalam mimpi. Manakala isterinya pula didatangi oleh seorang lelaki berjubah putih seperti pakaian imam masjid malam berikutnya sebelum mengucapkan kalimah suci itu dalam mimpi.

“Kami tidak bercerita antara satu sama lain sehinggalah beberapa hari selepas itu, kami bersembang mengenai kos rawatan isteri (warga Thailand), dia mengidap penyakit jantung dan memerlukan rawatan berkala di Hospital Satun.

“Keadaan jantungnya agak kurang baik dan memerlukan pembedahan segera dengan kos mungkin melebihi RM10,000, saya dan isteri pun bercerita mengenai mimpi masing-masing. Lalu kami terdetik mungkin ini tandanya kami juga perlu masuk Islam seperti anak kami (Firdaus Hong) yang kini sudah berusia 17 tahun,” jelasnya sewaktu dihubungi.

Tambah Abdul Rahman yang merupakan tukang perabot, dia dan isteri telah dibantu oleh bapa angkat anak mereka yang mahu dikenali sebagai Ehsan.

Pasangan itu kemudian memeluk Islam pada jam 11 malam 26 Mei lalu selepas dipimpin oleh jawatankuasa masjid Pekan Tunjang.

BACA: Ibu Zayn Rayyan Dibawa Ke Kediaman, Dipercayai ‘Lakon Semula’ Anak Hilang

“Selepas peluk Islam, kami rasa lebih tenang dan keesokannya Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman datang ziarah saya sekeluarga, Alhamdulillah kami dapat pelbagai bantuan zakat.

“Cuma sekarang ini kami perlu fikir untuk mencari wang untuk pembedahan isteri saya di Hospital Satun pada hujung bulan ini,” maklumnya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman memberitahu anak kedua pasangan itu Lim Eveen, 13, masih belum terdetik untuk menjadi seorang muslim.

“Saya tidak paksa anak bongsu saya untuk peluk Islam, cuma kami perlu tunjuk contoh yang baik seperti Firdaus buat sebelum ini.

“Sekarang saya dan isteri dalam proses belajar agama, ramai kenalan yang datang membantu, Alhamdulillah saya syukur kepada ALLAH kerana beri hidayah kepada kami,” ujarnya.

Terdahulu, pasangan itu mencuri tumpuan selepas mengejutkan anak sulung mereka, Firdaus untuk bersahur pada bulan Ramadan termasuk menghantar dan menjemput anaknya untuk mempelajari ilmu agama.

Bukan itu sahaja, Hun Kheng dan isterinya turut membawa Firdaus ke pejabat agama daerah untuk tujuan pendaftaran selepas anaknya memeluk Islam secara sukarela pada usia 11 tahun.

Difahamkan, anak sulung pasangan itu kini menuntut ilmu dan tinggal di asrama sekolah agama LZNK iaitu Maahad Dini Sultan Abdul Halim di Alor Setar.

Sumber: Sinar Harian

The post Suami Isteri Peluk Islam, Ikut Jejak Anak Enam Tahun Lalu appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *