straw kertas bahan kimia

Straw Kertas Dikesan Mengandungi Bahan Kimia Sebabkan Kanser – Kajian

Penyelidik memberi amaran bahawa penyedut minuman kertas yang dikenali sebagai ‘mesra alam’ dilaporkan mengandungi bahan kimia yang tahan lama serta tidak baik untuk alam sekitar berbanding straw plastik.

Bahan kimia tahan lama itu dikatakan berpotensi mendatangkan bahaya kepada manusia, hidupan liar dan alam sekitar.

Penyelidik Belgium mendapati bahan kimia itu telah ditemui dalam 18 daripada 20 jenama penyedut minuman kertas.

Menurut Bernama, banyak negara antaranya UK dan Belgium telah mengharamkan penjualan produk plastik sekali guna termasuk penyedut minuman.

Dalam analisis pertama seumpamanya di Eropah, para penyelidik telah menguji sebanyak 39 jenama straw untuk kumpulan bahan kimia sintetik. Bahan itu dikenali sebagai bahan poli dan perfluoroakyl (PFAS).

PFAS ditemui dalam kebanyakan straw yang diuji dan paling banyak dikesan adalah dalam straw yang dibuat daripada kertas dan buluh.

Kajian itu telah diterbitkan dalam jurnal peer-reviewed Food Additives and Contaminants.

Thimo Groffen, seorang saintis alam sekitar di Universiti Antwep berkata, pasukan penyelidikan ingin mengetahui sama ada PFAS ada dalam straw yang dijual di Belgium.

Pasukan itu telah membeli sebanyak 39 jenama straw yang diperbuat daripada lima bahan iaitu kertas, buluh, kaca, keluli tahan karat dan plastik.

Penemuan mendapati, majoriti jenama iaitu sebanyak 27 daripada 39 jenama atau 69 peratus jenama straw yang diuji mengandungi PFAS.

Penyedut minuman kertas kebanyakannya dilaporkan mengandungi PFAS dengan bahan kimia dikesan dalam 90 peratus daripada jenama yang diuji.

Selain itu, PFAS juga dikesan dalam empat daripada lima straw buluh, tiga daripada empat jenama straw plastik dan dua daripada lima straw kaca.

Penemuan bahan kimia dalam hampir setiap jenama straw kertas berkemungkinan digunakan sebagai salutan kalis air.

Kajian itu bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada PFAS akan meresap keluar dari penyedut minuman ke dalam bentuk cecair atau tidak.

PFAS yang paling biasa ditemui adalah asid perfluorooctanoic (PFOA) dan ia telah diharamkan di seluruh dunia sejak 2020 lalu.

Turut dikesan ialah asid trifluoroacetic (TFA) dan asid trifluoromenthanesulfonic (TFMS). PFAS dikesan sangat mudah larut dalam air dan ia mungkin telah meresap keluar daripada penyedut minuman lalu bercampur dengan minuman.

Penyelidik turut menyatakan bahawa, disebabkan pengguna kebanyakannya menggunakan penyedut minuman sekali sekala, risiki kepada kesihatan manusia tidak begitu teruk.

Bagaimanapun, PFAS dikatakan boleh kekal di dalam badan manusia selama bertahun-tahun dan kepekatannya boleh meningkat dari semasa ke semasa.

PFAS digunakan untuk membuat produk harian, daripada pakaian luar hingga kuali tidak melekat, tahan air, haba dan noda.

Ia rosak dengan sangat perlahan dari semasa ke semasa dan boleh bertahan selama beribu-ribu tahun dalam alam sekitar. Sifat ini telah menyebabkan ia dikenali sebagai “bahan kimia selama-lamanya”.

BACA: Viu Buat Showcase Percuma 31 Ogos, Boleh ‘Meet & Greet’ Artis Termasuk Bunkface & MK K-Clique

Ia juga dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan, termasuk tindak balas yang lebih rendah terhadap vaksin, kadar kelahiran rendah, penyakit tiroid, peningkatan paras kolesterol, kerosakan hati, kanser buah pinggang dan kanser testis.

Groffen berkata: “Sebilangan kecil PFAS, walaupun tidak berbahaya ia boleh menambah beban kimia yang sedia ada di dalam badan.

“Kami tidak mengesan sebarang PFAS dalam penyedut keluli tahan karat, jadi saya akan menasihati pengguna untuk menggunakan penyedut minuman jenis ini – atau elakkan menggunakan penyedut minuman sama sekali.

“Straw yang diperbuat daripada bahan berasaskan tumbuhan, seperti kertas dan buluh, sering diiklankan sebagai lebih mampan dan mesra alam berbanding yang diperbuat daripada plastik.

“Bagaimanapun, kehadiran PFAS dalam penyedut minuman ini bermakna itu tidak semestinya benar.”

Sumber: BERNAMA

The post Straw Kertas Dikesan Mengandungi Bahan Kimia Sebabkan Kanser – Kajian appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *