yi yi sheng yi pulang china

“Selamat Tinggal,” Panda Gergasi, Yi Yi & Sheng Yi Dihantar Pulang Ke China Hari Ini

KUALA LUMPUR — Suasana sepi menyelubungi Zoo Negara apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada dua ekor panda gergasi Yi Yi dan Sheng Yi yang akan dihantar ke China hari ini.

Pihak Zoo Negara memaklumkan perkara tersebut dalam satu perkongsian di laman Facebook semalam.

Dalam kenyataan tersebut, Zoo negara menjelaskan kedua-dua ekor panda itu dilahirkan pada 14 Januari 2018 dan 30 Mei 2021 serta telah dianggap sebahagian daripada keluarga Zoo Negara.

Kehadiran Yi Yi dan Sheng Yi menarik perhatian pengunjung yang datang dengan telatah mereka yang mencuit hati sepanjang ia dibesarkan di Zoo berkenaan.

“Gelagat mereka yang suka bermain, raungan lembut dan keberadaan haiwan comel ini menjadi salah satu tarikan di sini.

“Dari langkah awal mereka yang tercungap-cungap hingga perangai nakal mereka menjadi bukti keriangan dua ekor anak panda ini di sini,” jelas Zoo Negara dalam satu kenyataan semalam.

Gambar: Zoo Negara

BACA JUGA: Kenapa Semua Panda Di Dunia Adalah Milik Mutlak China? Tanda Diplomasi Atau Kuasa?

Tambah Zoo Negara, setiap momen pahit manis bersama kedua-dua haiwan ini akan sentiasa kekal dalam ingatan.

“Pihak zoo mengucapkan selamat tinggal kepada Yi Yi dan Sheng Yi yang cukup bermakna bagi kami. Kenangan ceria bermain, tawa dan kasih sayang yang mereka kongsikan dengan pengunjung akan kekal tersemat di hati.

“Meskipun suasana zoo tidak akan sama tanpa Yi Yi dan Sheng Yi, kami bersyukur dapat meluangkan waktu bersama haiwan luar biasa ini,” maklum Zoo Negara lagi.

Sementara itu, Penasihat kanan di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia Dr Oh Ei Sun berkata, panda gergasi itu merupakan simbolik hubungan dua hala antara Malaysia-China yang telah lama terjalin khususnya dalam perdagangan dan pelaburan, lapor Bernama.

“Panda berfungsi sebagai simbol dan persahabatan yang erat antara kedua-dua negara.

“Selain daripada hubungan dua hala, pendapatan yang dijana oleh “sewaan” panda luar negara seperti itu dapat membantu usaha pemuliharaan panda domestik di China.

“Kehadiran panda di negara lain juga membantu meningkatkan minat dan kesedaran tentang budaya Cina secara amnya,” ujarnya sewaktu dihubungi Bernama.

Untuk makluman, Yi Yi dan Sheng Yi merupakan anak kepada pasangan Panda Gergasi, Fu Wa dan Feng Yi yang dipinjamkan kepada Kerajaan Malaysia pada 2014 untuk tempoh 10 tahun, sempena ulang tahun ke-40 terjalinnya hubungan diplomatik Malaysia dan China.

Sumber: Zoo Negara

The post “Selamat Tinggal,” Panda Gergasi, Yi Yi & Sheng Yi Dihantar Pulang Ke China Hari Ini appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *