Baru-baru ini, tular satu video menunjukkan sekumpulan lelaki tangkap seorang wanita dan letakkan dia di dalam sebuah lori di sebuah simpang tiga Kalembuweri, Jalur Tena Teke dan Jalur Rara, Desa Waimangura, Kecamatan Wewewa Barat, Kabupaten Sumba Barat Daya.

Dalam video yang dimuat naik di media sosial itu, dapat dilihat seorang gadis telah ditangkap oleh sekumpulan lelaki ketika dia sedang berdiri di simpang jalan. Gadis ini telah didatangi oleh tiga orang lelaki dari arah belakang sebelum dibawa masuk ke dalam lori sambil diikuti beberapa lelaki lain.

Ketika lori tersebut meninggalkan tempat tersebut, dapat didengari suara jeritan gadis tersebut yang mungkin terkejut dengan apa yang berlaku pada dirinya.

Artikel berkaitan: 11 Tradisi & Budaya Perkahwinan Yang Unik Di Seluruh Dunia

 

Artikel berkaitan: Tradisi Sembogo: Wajah Akan Dihembus Asap Untuk Naikkan Seri Pengantin

Dikatakan, gadis yang ditangkap itu akan dipaksa untuk berkahwin dengan lelaki dan ia merupakan tradisi ‘kahwin tangkap’ di Sumba yang telah lama ditinggalkan namun dihidupkan semula oleh segelintir orang-orang di sana.

Dengar macam seramkan? Mana tidaknya, tengah keluar berjalan nak pergi kedai ke apa tiba-tiba kena tangkap lepastu dipaksa kahwin. Jom kenali tradisi ‘kahwin tangkap’ masyarakat Sumba yang sering dikritik ini.

Asal usul kahwin tangkap

744313 720

Kahwin tangkap atau lebih dikenali sebagai “Marapu” oleh orang di Sumba ini merupakan sebuah amalan pernikahan yang kontroversial dan masih berlaku di beberapa bahagian Pulau Sumba.

Marapu merupakan istilah dalam bahasa Sumba yang merujuk kepada agama tradisional Sumba. Pun begitu, budaya kahwin tangkap ini tidak diamalkan oleh semua masyarakat di Sumba lebih-lebih lagi selepas kebanyakan dari mereka telah pun beralih ke agama Islam dan Kristian.

Dalam budaya Sumba, pernikahan dianggap sebagai sesuatu yang sangat penting dan keluarga akan bertanggungjawab untuk mengatur pernikahan anak-anak bagi mempertahankan status sosial, ekonomi dan kehormatan keluarga.

Jadi, jika berlaku perbezaan dari segi status sosial atau ekonomi di antara dua keluarga, seperti lelaki kaya ingin berkahwin dengan wanita miskin, mereka akan gunakan kekuatan, tekanan atau ancaman untuk memastikan perkahwinan tersebut terjadi.

Proses kahwin tangkap

Pernikahan Sumba

Mengikut buku Masyarakat Sumba dan Adat Istiadatnya yang ditulis oleh Oe. H. Kapita, kahwin tangkap ini merupakan tahap awal proses peminangan dalam masyarakat Sumba.

Dari segi adat, cara peminangan ini dinamakan sebagai piti rambang atau ambil paksa di mana lelaki akan menangkap calon isterinya untuk dilamar dan dinikahi.

Namun begitu, kalau mengikut tradisi sebenar-benarnya, kahwin tangkap ini selalunya telah dirancang lebih awal dan dipersetujui oleh kedua belah pihak. Prosesnya pula akan melibatkan simbol-simbol adat seperti kuda yang diikat atau emas di bawah bantal sebagai simbol bahawa adat tersebut sedang dilaksanakan.

Manakala calon isteri yang bakal ditangkap juga telah bersiap sedia dengan berdandan dan mengenakan pakaian adat yang lengkap. Kemudian, calon suami akan menunggang kuda dan menangkap calon isterinya di lokasi yang telah dipersetujui bersama.

Selepas ditangkap, ibu bapa lelaki akan memberikan seekor kuda dan sebuah parang Sumba kepada keluarga wanita sebagai tanda minta maaf serta memberitahu bahawa anak perempuan mereka dalam tawanan anak lelakinya.

Proses peminangan rasmi kemudiannya dimulakan selepas gadis yang diculik itu bersetuju untuk menikah dan disusuli dengan penyerahan hantaran perkahwinan.

Menunggang adat?

64525259 127704395118761 585643425807436039 N

Pun begitu, sejak beberapa tahun lalu, proses kahwin tangkap ini telah disertai dengan paksaan dan kekerasan terhadap kaum wanita. Dengan menggunakan nama adat, lelaki merasakan yang mereka berhak untuk menculik dan memaksa mana-mana perempuan Sumba pada bila-bila masa untuk dinikahi sekaligus telah tersasar dari adat asal. Malah, ada juga beberapa lelaki yang membawa senjata seperti melakukan penculikan sebenar!

Punca berlakunya kahwin tangkap ‘moden’ yang telah melencong dari adat sebenar kepada penyerangan dan kekerasan terhadap wanita ini adalah kerana mangsa tangkap tidak bersetuju untuk berkahwin serta penggunaan senjata dan intimidasi yang boleh membahayakan fizik, mental dan seksual mangsa.

Selain itu, pelaku juga turut menyasarkan kanak-kanak dan sekaligus turut meningkatkan angka perkahwinan bawah umur di Indonesia.

Ini sekaligus tidak sejajar dengan hak asasi manusia yang berhak untuk rasa selamat serta bebas dari segala ancaman kekerasan.

Disebabkan ini, pemerintah Indonesia telah cuba untuk mengatasi amalan ini dengan melarang pernikahan paksa dan penculikan untuk pernikahan namun disebabkan Sumba daerah yang agak terpencil, perlaksanaan bagi menghukum pelaku atas kesalahan ini agak sukar untuk dijalankan.

Ni dah kira jenayah dah ni tapi ditutup dengan nama “adat”.

Sumber: victorynews, Twitter

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *