prinsip perlembagaan anwar

Saya Tak Mahu Jadi PM Jika Prinsip Dalam Perlembagaan Dipertikai – Anwar

MUAR, 3 Sept (Bernama) — Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sama sekali tidak mahu menjadi Perdana Menteri sekiranya prinsip-prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam dipertikai.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata justeru, pihak tidak bertanggungjawab terutama pembangkang tidak perlu membangkitkan isu terbabit untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

“Siapa yang boleh pertikai kepimpinan Melayu, kuasa Melayu, Islam agama persekutuan, Bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu, tidak ada.

“Kawan-Kawan kita dalam DAP, MIC, MCA bahkan PKR yang bukan Melayu tidak pernah pertikai itu dan saya tidak mahu jadi Perdana Menteri sekiranya prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan dipertikai,” katanya.

Belia berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan MADANI Pilihan Raya Kecil (PRK) N13 Simpang Jeram di Sungai Abong di sini malam ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching serta calon PH bagi kerusi itu, Nazri Abdul Rahman.

Perdana Menteri berkata orang Melayu sendiri sudah terbiasa dengan janji dan slogan yang kononnya menekankan ‘Islam dan Melayu’ namun parti pembangkang, ketika menjadi pemerintah sebelum ini, tidak melakukan sebarang perubahan.

BACA: Kerajaan Timbang Permudah Syarat OKU Sertai TVET – PM

“Adakah Islam ditegakkan dengan lebih baik, adakah rasuah berkurangan, adakah amalan sakau harta rakyat berkurangan, tidak ada, yang banyak hanya slogan,” katanya sambil menambah keadaan amat berbeza di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan ketika ini yang akan mempertahan dan membela nasib rakyat pelbagai kaum di Malaysia selama mana ia memerintah.

Anwar berkata beliau tidak kisah dicerca serta dimaki namun azam dan hasratnya untuk menjadikan Malaysia sebagai negara dengan ekonomi hebat di rantau ini tidak pernah terpadam.

“Makilah sebanyak manapun, cerca dan hina sebanyak manapun, 25 tahun dihina saya tidak kisah, saya nak guna kuasa ini untuk tolong negara dan rakyat,” katanya.

Beliau turut meminta penduduk Simpang Jeram memberi sokongan padu kepada Nazri untuk menjadi wakil rakyat bagi menguatkan lagi kerajaan negeri sekali gus membantu mempermudah usaha memacu pembangunan di kawasan itu.

“Pastikan Nazri menang selesa. Angkat Nazri biar dia kerja, biar kita pantau, biar dia pastikan Johor dan Kerajaan Persekutuan bantu orang di Simpang Jeram,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Saya Tak Mahu Jadi PM Jika Prinsip Dalam Perlembagaan Dipertikai – Anwar appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *