putrajaya rasa hati tunang

Rempuhan Putrajaya: Rasa Tidak Sedap Hati Petanda Berita Buruk Mengenai Bakal Tunang

PUTRAJAYA, 21 Sept (Bernama) — Rasa tidak sedap yang dialami seorang jururawat menjadi petanda berita buruk mengenai bakal tunangnya yang maut dalam kemalangan lebih sedozen kenderaan di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong, semalam.

Farah Atikah Bakri, 24, berkata dia rasa berdebar-debar selepas mendapat tahu mengenai kemalangan ngeri tersebut, sebelum berkali-kali menghubungi Faris Haziq Abu Bakar, 25, namun tidak berjawab.

Jururawat Hospital Putrajaya itu berkata sebelumnya, dia ada menghubungi bakal tunangnya kira-kira 9.50 pagi dengan Faris Haziq menyatakan sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja.

“Bila tahu mengenai ada kemalangan di Putrajaya, saya hubungi dia banyak kali tetapi tidak angkat… kira-kira 6 petang, kakaknya maklumkan dia sudah tiada.

“Saya terus masuk bilik bedah siasat (Hospital Putrajaya) dan tengok dia (Faris Haziq). Allah SWT lebih sayangkan dia,” katanya yang kelihatan sugul ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Allahyarham Faris Haziq yang merupakan pekerja Pos Malaysia antara dua penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah treler muatan batu pasir merempuh sejumlah kenderaan termasuk motosikal anggota polis trafik semalam.

BACA: 12 Terbunuh, 100 Parah Dalam Insiden Rempuhan Di Stadium

Kemalangan kira-kira 10.15 pagi yang melibatkan 14 buah kenderaan iaitu treler terbabit, sebuah lori satu tan, tujuh kereta serta lima motosikal itu berlaku apabila treler berkenaan melanggar kenderaan yang sedang berhenti dalam barisan di laluan terbabit.

Seorang lagi yang dilapor meninggal dunia ialah pekerja di Mahkamah Ampang Yuswar Mohd Uyus, 39.

Sementara itu, ibu Allahyarham Faris Haziq, Mazlina Mansor, 56, berkata anaknya ada menyatakan hasrat untuk bertunang dengan pilihan hatinya selepas perkahwinan kakaknya Fatin Hamimi pada 29 Okt ini.

“Kami memang rancang selepas kakaknya kahwin, kita akan bincang mengenai pertunangan Faris Haziq dengan pilihannya tetapi fokus awal adalah selesaikan urusan kakaknya dahulu,” katanya.

Mazlina berkata jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Lalang di Semenyih, Selangor selepas proses bedah siasat selesai.

Sumber: BERNAMA

The post Rempuhan Putrajaya: Rasa Tidak Sedap Hati Petanda Berita Buruk Mengenai Bakal Tunang appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *