buaya terpanjang mississipi

Rekod Baharu Tercipta, Buaya Terpanjang Berjaya Ditangkap Di Mississipi

MISSISSIPPI — Seekor buaya terpanjang berjaya ditangkap oleh sekumpulan pemburu di Sungai Yazoo, lapor Live Science.

Difahamkan, reptilia tersebut mencatatkan sejarah baharu dengan berukuran sepanjang 4.34 meter (14 kaki 3 inci) dan berat mencapai 364 kilogram (802.5 paun).

Rekod terbaharu itu tercipta pada 26 Ogos lalu ketika musim memburu buaya selama 10 hari di Mississippi.

Salah seorang pemburu yang mengambil bahagian ketika musim berburu itu, Donald Woods memberitahu pemberita bahawa mereka berjaya memburu haiwan itu pada waktu malam.

Gambar: Red Antler Processing

“Pada malam yang tenang itu, kami melihat banyak (buaya) berukuran lapan hingga 10 kaki namun, ia bukanlah haiwan yang kami cari,” ujarnya.

Bagaimanapun, pasukan pemburu ternampak reptilia gergasi itu sebelum berjaya menangkapnya.

“Kami mengikat haiwan ini sebanyak lapan atau sembilan kali namun masih mampu melepaskan diri. Kami sangat letih khususnya dari segi mental. Pasukan terpaksa mengambil masa selama tujuh jam untuk menewaskan dan membunuh haiwan itu,” katanya lagi.

Pada awalnya mereka tidak menyangka bahawa reptilia yang ditangkap itu merupakan rekod dunia sehingga menyedari betapa besarnya ia.

“Macam tak percaya, ia adalah nyata. Kami kagum betapa lebar belakangnya dan besar kepalanya,” kata Wood lagi.

Setelah itu, pasukan pemburu itu memberitahu penyelaras Program Alligator Jabatan Hidupan Liar, Perikanan dan Taman Mississippi (MDWFP), Andrew Arnett. Hasil ukuran dan timbang berat secara rasminya menjadi rekod baharu dunia.

Kegembiraan pasukan itu diluahkan melalui sesi bergambar dengan tangkapan tersebut di Red Antler Processing, sebuah kemudahan pemprosesan permainan liar di bandar Yazoo.

Aligator terpanjang
Gambar: Red Antler Processing

Menurut MDWFP, rekod sebelum ini dipegang oleh buaya jantan yang berukuran 4.29 meter (14 kaki 0.75 inci) dengan berat 347.5 kg (766.5 paun).

Haiwan berkenaan telah ditangkap oleh pemburu pada 2017 berhampiran bandar barat dari Natchez.

Aligator

Untuk makluman, buaya jenis ini berasal dari tenggara Amerika Syarikat dan boleh dijumpai di seluruh Mississppi.

Pemburuan terhadap reptilia ini adalah haram di sisi undang-undang jika dilakukan di luar musim berburu selain tidak mempunyai permit daripada pihak MDWFP.

BACA JUGA: Kenapa Binatang Sebesar Buaya Berenang Tidak Menghasilkan Riak Air yang Besar? Ini Jawapannya

Bagi pemegang permit, mereka dibenarkan untuk menangkap dua ekor buaya sepanjang 1.2 meter (4 kaki) hingga 2.1 meter (7 kaki). Langkah ini bagi memastikan tiada pemburuan secara haram dan keganasan terhadap reptilia ini.

Aligator terbesar pernah direkodkan ialah sepanjang 4.8 meter dan berat mencapai 459 kg (1,01.5 paun) yang ditangkap di Alabama pada 2014.

Kadar tumbesaran haiwan ini bergantung kepada jantina, umur dan habitat haiwan itu. Kebiasaannya, buaya jantan membesar dengan lebih cepat.

Sumber: Live Science

The post Rekod Baharu Tercipta, Buaya Terpanjang Berjaya Ditangkap Di Mississipi appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *