Rayuan pesuruhjaya Pas Perak

Rayuan Pesuruhjaya PAS Perak Berhubung Bayaran Ganti Rugi RM250,000 Kepada Lim, Ditolak

PUTRAJAYA, 6 Sept (Bernama) — Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria membayar ganti rugi RM250,000 kepada Lim Guan Eng berhubung hantaran Facebook yang dianggap memfitnah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Panel tiga hakim terdiri daripada S. Nantha Balan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Dr Choo Kah Sing menolak rayuan Razman selepas memutuskan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Amarjeet Singh (kini Hakim Mahkamah Tinggi) telah dibuat dengan betul bahawa penerbitan Facebook itu adalah berunsur fitnah. Mahkamah Rayuan juga memerintahkan Razman membayar kos RM20,000.

Hakim Nantha Balan yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, berkata catatan Facebook itu yang dibaca secara pantas atau pandangan sekali imbas oleh pembaca, telah memfitnah Lim dengan mencadangkan, menuduh atau menyatakan bahawa Lim antitudung, yang dalam konteks Malaysia berunsur fitnah terhadap Lim.

“Kami bersetuju dengan Pesuruhjaya Kehakiman bahawa perkataan dalam kapsyen ‘doa moga ini tidak betul’ dan ‘kalau ianya benar’ (dalam hantaran Facebook) tidak bertindak sebagai penawar dan tidak menghapuskan sengatan itu yang mencadangkan secara jelas atau secara tersirat plaintif (Lim) adalah seorang yang menggalakkan aktiviti diskriminasi dan mengabaikan sensitiviti umat Islam Malaysia, khususnya di Pulau Pinang.

Beliau juga berkata terdapat 61 komen pembaca di hantaran Facebook itu malah ada juga yang memberi amaran kepada Razman bahawa beliau berisiko dikenakan saman fitnah.

Hakim Nantha Balan berkata mahkamah juga mendapati tiada merit berhubung hujahan peguam Norazli Nordin yang mewakili Razman bahawa penerbitan hantaran itu tidak dibuktikan kerana tiada bukti bebas bahawa mana-mana pihak ketiga mempunyai akses kepada akaun Facebook itu.

Beliau berkata setelah mempertimbangkan perkara itu dengan teliti dan mengambil kira penghujahan bertulis yang komprehensif serta penjelasan lisan, mahkamah mendapati tiada kesilapan yang boleh dirayu untuk mewajarkan sebarang campur tangan perayu dalam kes itu.

Lim menyaman Razman berhubung satu hantaran dalam Facebook (Razman) pada 18 Nov 2017 yang mendakwa Lim menyokong penuh larangan pengambilan pekerja hotel memakai tudung, dengan ia turut disokong oleh kerajaan Pulau Pinang.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim berkata perkataan yang digunakan dalam hantaran Razman adalah daripada sumber yang tidak sahih dan bertujuan mencemarkan nama dan reputasinya serta menggambarkan beliau sebagai seorang pemimpin yang tidak menghormati Islam dan budaya Melayu.

Pada 14 Mac 2022, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan tuntutan Lim dan memerintahkan Razman membayar Lim RM150,000 sebagai ganti rugi am dan RM100,000 sebagai ganti rugi teruk.

BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas

Hakim Amarjeet Singh juga memerintahkan Razman membuat permohonan maaf secara terbuka di laman Facebook beliau dan ditag di Facebook Lim dengan hantaran permohonan maaf itu.

Razman yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak turut diarahkan supaya tidak mengulangi kenyataan itu di Facebook pada masa depan. Keputusan itu mendorong Razman memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Lim diwakili peguam Datuk N. Mureli dan Felix Lim.

Sumber: BERNAMA

The post Rayuan Pesuruhjaya PAS Perak Berhubung Bayaran Ganti Rugi RM250,000 Kepada Lim, Ditolak appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *