polis op khas

Polis Terengganu Nafi Op Khas Motosikal Berunsur Sabotaj

KUALA TERENGGANU, 10 Sept (Bernama) — Polis Terengganu menafikan bahawa pelaksanaan Op Khas Motosikal pada Jumaat dan Sabtu lepas mengandungi unsur sabotaj terhadap program himpunan tahunan RXZ Members 5.0 yang berlangsung dalam tempoh sama di Kuala Nerus.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata operasi tersebut dijalankan secara bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas menerima aduan dan rungutan orang ramai terhadap tindakan segelintir penunggang motosikal yang bukan sahaja memandu secara melulu, malah mengganggu ketenteraman awam.

Beliau menegaskan operasi tersebut tugas rutin yang dijalankan pihak polis bagi memastikan keselamatan orang ramai dan bukannya berunsur politik seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Selepas mendapat aduan, pihak kami telah menjalankan pemantauan dan memang benar terdapat pelanggaran undang-undang dalam kalangan peserta RXZ Members 5.0 yang menunggang secara melulu hingga membahayakan pengguna jalan raya lain termasuk di kawasan lebuh raya dan jalan negeri.

“Bunyi ekzos yang diubah suai pula sangat kuat hingga mengganggu pesakit di hospital dan masyarakat yang tinggal berdekatan. Jadi ini memang tugas rutin polis…tak ada kena mengena dengan politik atau ada arahan sesiapa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

BACA: Tiga Maut Motosikal Dirempuh Kereta Terbabas

Menurut Mazli pihak polis sentiasa menyokong program atau aktiviti yang memberi impak positif kepada sosioekonomi penduduk selagi ia tidak melanggar undang-undang sedia ada.

Katanya polis juga tidak boleh berkompromi dengan isu keselamatan orang awam dan segala tindakan yang diambil terhadap peserta program RXZ Members 5.0 adalah mengikut lunas undang-undang sedia ada.

“Tiada isu dengan penganjur kerana mereka dah mohon permit daripada polis, cuma segelintir pemilik motosikal yang mengambil kesempatan di sebalik program itu untuk lakukan kesalahan,” katanya.

Sejak semalam warga net meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial setelah ada peserta program yang berlangsung di Gong Badak, Kuala Nerus dengan menghimpunkan pemilik motosikal RXZ termasuk dari Sabah dan Sarawak itu, ditahan polis dan JPJ dalam op berkenaan selain ada yang motosikal mereka disita.

Sebahagian hantaran mengaitkan tindakan pihak berkuasa itu sebagai arahan daripada ‘pihak atasan’ memandangkan acara itu diadakan di negeri pembangkang.

Sumber: BERNAMA

The post Polis Terengganu Nafi Op Khas Motosikal Berunsur Sabotaj appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *