Polis Tahan Chegu Bard

Polis Tahan Chegu Bard

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard, kerana keengganannya memberikan kerjasama ke atas siasatan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata Chegu Bard ditahan di Jalan Raja Laut di sini malam ini, bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang menyentuh konflik sempadan Malaysia-Indonesia, pemilikan harta pemimpin negara serta pendedahan dokumen rahsia besar sebuah jabatan kerajaan di media sosial.

Beliau berkata PDRM menerima enam laporan polis dan telah membuka lima kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

“Polis telah memanggil beliau beberapa kali untuk memberi kerjasama, namun gagal menghadirkan diri malah polis juga telah kemukakan notis mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah kepadanya.

“Chegu Bard sendiri telah menandatangani akuan penerimaan notis itu, namun enggan hadir ke mana-mana balai bagi dirakam percakapan tanpa memberikan sebarang alasan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, malam ini.

BACA JUGA: Polis Tahan Lelaki Disyaki Pukul Gelandangan

Mohd Shuhaily berkata kegagalan Chegu Bard dalam membantu PDRM melengkapkan proses siasatan ke atasnya, seolah-olah mencabar proses siasatan dan perundangan negara.

“Ia termasuklah kegagalannya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pagi tadi, sekali gus menyebabkan tangkapan dibuat setelah mendapat Waran Tangkap dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam,” katanya.

Beliau berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1997, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sementara itu, mengulas sama ada penahanan beliau mempunyai kaitan dengan ‘Perhimpunan Selamatkan Malaysia’, Mohd Shuhaily menafikan perkara berkenaan.

“Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa penahanan Che’gu Bard pada malam ini tidak mempunyai kaitan dengan perhimpunan berkenaan pada Sabtu ini dan dia bukan salah seorang daripada pemohon perhimpunan,” katanya sambil menambah, PDRM akan cuba menyelesaikan rakaman percakapan Chegu Bard pada malam ini jika mendapat kerjasama yang baik.

Sumber: BERNAMA

The post Polis Tahan Chegu Bard appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *