rider tunggakan 34 bulan

Polis Sahkan Rider Tak Puas Hati Motosikal Ditarik, Tertunggak 34 Bulan

Tindakan seorang penghantar makanan yang menendang motosikal miliknya menjadi tular selepas dipercayai tidak berpuas hati kenderaan tersebut ditarik kerana mempunyai tunggakan selama 34 bulan, dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah Isnin lalu, lapor Sinar Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, kejadian yang berlaku sekitar 3.10 petang itu dirakam orang ramai yang berada di kawasan tersebut.

“Siasatan awal dijalankan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, individu tersebut bertindak menendang motosikal miliknya sebelum menyerahkan kepada ejen penarik kenderaan.

“Kejadian berlaku disebabkan individu berkenaan tidak berpuas hati kerana motosikalnya itu ditarik setelah mempunyai tunggakan bayaran selama 34 bulan,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun, jelas Anbalagan pihaknya tidak membuka sebarang kertas siasatan berhubung kejadian itu.

“Laporan polis telah dibuat oleh ejen penarik kenderaan pada hari sama di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur.

“Tiada sebarang siasatan dijalankan berikutan ia hanya melibatkan laporan berkaitan penarikan kenderaan,” ujarnya.

Terdahulu, satu video yang menunjukkan seorang penghantar makanan atau rider menendang kenderaannya menjadi tular selepas meraih perhatian orang ramai.

Aksi rider tersebut kemudiannya menimbulkan pelbagai spekulasi warga maya.

Motosikal rider disita: lesen dan insurans tamat tempoh bulan Februari – JPJ

Sebelum ini, motosikal seorang penghantar makanan (rider) telah disita pihak berkuasa.

Bagaimanapun, ia berpunca daripada tamat tempoh lesen kenderaan motor (LKM) dan ketiadaan insurans, kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

JPJ mengesahkan melakukan sitaan terhadap kenderaan milik rider itu di ruangan komen video tular tersebut.

“Merujuk pada video di atas, LKM telah tamat tempoh dan insurans tiada.

“Oleh itu JPJ menahan dan sita untuk mengelakkan rider tersebut berlaku kemalangan dan sebagainya disebabkan tiada insurans tersebut.

“Jika berlaku kemalangan rider akan menyusahkan pemandu lain dan juga keluarga kelak. Harap maklum,” katanya di ruangan komen pada Rabu.

Dalam pada itu, JPJ turut mengemas kini dengan menyatakan lesen rider tersebut telah tamat tempoh pada bulan Februari lepas.

“Info terkini, roadtax dan insurans tamat pada 6 Februari 2023,” komennya.

Sumber: Sinar Harian

The post Polis Sahkan Rider Tak Puas Hati Motosikal Ditarik, Tertunggak 34 Bulan appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *