Polis Operasi Kenderaan Perdagangan Ibu Negara

Polis Pertingkat Operasi Pantau Kenderaan Perdagangan Di Ibu Negara

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) — Polis akan mempertingkat operasi pemantauan terhadap kenderaan berat khususnya kenderaan perdagangan di ibu negara mulai hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata tindakan itu diambil susulan kemalangan maut yang membabitkan 14 buah kenderaan di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong, di Putrajaya semalam.

“Di Kuala Lumpur memang setiap hari kita menjalankan operasi pemeriksaan terhadap kenderaan berat ini, namun mulai hari ini kita akan pertingkatkan lagi operasi khususnya terhadap kenderaan perdagangan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Selain waktu operasi terhad iaitu 6.30 pagi hingga 9.30 pagi di ibu negara, kita akan beri tumpuan juga khusus di laluan masuk macam di Putrajaya dari Puchong, Selangor. Kalau berlaku perlanggaran yang memerlukan tindakan sita, kita akan ambil, tiada kompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur Fasa 2 di sini, hari ini.

Mengulas mengenai sama ada aspek mekanikal treler menjadi punca kemalangan malang itu, Allaudeen berkata polis sedang menunggu laporan pemeriksaan daripada JPJ dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), selain tidak menolak kemungkinan kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu treler tersebut.

Beliau berkata pemandu berusia 25 tahun itu telah ditahan semalam dan akan direman pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kemalangan kira-kira 10.15 pagi semalam, dua penunggang motosikal maut, manakala tujuh lagi cedera selepas dirempuh sebuah treler membawa muatan pasir dari arah belakang ketika berhenti di lokasi kejadian, bagi memberi laluan kepada latih amal Polis Diraja Malaysia untuk acara berbasikal antarabangsa Le Tour de Langkawi (LTdL).

Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai pekerja Pos Malaysia, Faris Haziq Abu Bakar, 25, dan pekerja di Mahkamah Ampang, Yuswar Mohd Uyus, 39.

Kemalangan itu turut melibatkan 14 kenderaan iaitu treler terbabit, sebuah lori satu tan, tujuh kereta serta lima motosikal termasuk sebuah motosikal polis trafik.

Mengenai minggu pertama Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur Fasa 2, Allaudeen berkata sebanyak 36,432 saman telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan dengan halangan lalu lintas mencatatkan jumlah kesalahan tertinggi iaitu 27,755 saman.

“Sepanjang operasi ini seramai 59 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah dan trafik selain tindakan sita dibuat ke atas 29 buah kenderaan membabitkan 27 motosikal dan dua lori,” katanya.

Operasi itu dilaksanakan selama dua minggu bermula 15 Sept lepas dan berakhir 29 Sept ini.

BACA: Cara Nak Set “Legacy Contact” Untuk Iphone, Waris Boleh Akses Akaun Jika Pemilik Meninggal Dunia

Sumber: Bernama

The post Polis Pertingkat Operasi Pantau Kenderaan Perdagangan Di Ibu Negara appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *