Piala asia skuad b-23

Piala Asia: Hasrat Skuad B-23 Muncul Juara Kumpulan H Tidak Kesampaian

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) — Hasrat skuad bola sepak bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan untuk menjuarai Kumpulan H tidak kesampaian selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Stadium Chonburi, Bangkok, Thailand hari ini.

Jaringan tunggal penyerang Yotsakon Burapha pada minit ke-20 itu sekali gus memusnahkan harapan Malaysia untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024, sebaliknya terpaksa menunggu keputusan daripada perlawanan lain bagi mengetahui nasib skuad Harimau Muda.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara menamatkan kedudukan di tangga kedua kumpulan manakala Thailand selaku juara kumpulan dan layak secara automatik ke pusingan akhir tahun depan.

Pada aksi malam ini, kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu lawan dan rembatan pemain tengah Harimau Muda Nooa Laine hampir membutirkan gol pada minit kesembilan namun sedikit tersasar.

Skuad Gajah Putih yang berkelebihan beraksi di laman sendiri jelas tidak goyah dengan asakan bertali arus anak buah E. Elavarasan sebaliknya percaturan dari bahagian kiri padang oleh Phongsakon Trisat disempurnakan dengan baik Yotsakon yang menanduk masuk bola, menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman pada minit ke-20.

BACA JUGA: Piala Asia: FAM, KBS Sedia Bantu ‘Terbangkan’ Penyokong Ke Qatar

Biarpun ketinggalan, Harimau Muda tetap ghairah mencipta peluang menyamakan kedudukan namun hampa apabila sepakan percuma diambil penyerang Muhammad Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-41 berjaya ditangkap kemas penjaga gol Thirawooth Sraunson.

Thailand meneruskan penguasaan dengan melakukan beberapa percubaan pada babak kedua perlawanan namun berjaya ditepis Sikh Izhan Nazrel.

Peluang terbaik skuad kebangsaan diperoleh pada minit ke-69 untuk mengikat tuan rumah namun sepakan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi gagal disempurnakan dengan baik.

Sebagai rekod, hanya juara kumpulan bersama empat naib juara terbaik dari keseluruhan 11 kumpulan layak ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar yang turut menawarkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 di Qatar akan berlangsung pada 15 April hingga 3 Mei tahun depan.

Sumber: BERNAMA

The post Piala Asia: Hasrat Skuad B-23 Muncul Juara Kumpulan H Tidak Kesampaian appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *