perlumbaan drag mam

Perlumbaan Drag Ragut Nyawa Tiada Pengiktirafan MAM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) — Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengesahkan perlumbaan drag, ‘Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023’ di litar Pekan, Pahang, pada Ahad lepas yang meragut nyawa, tidak diiktiraf dan tidak mendapat kelulusan persatuan berkenaan.

MAM dalam satu kenyataan hari memaklumkan sukan permotoran merupakan sukan yang berbahaya dan mana-mana pihak yang ingin menyertainya sama ada penganjur, pemilik litar atau pelumba, wajib mematuhi peraturan serta protokol ketat yang ditetapkan.

“Ia demi memastikan tahap keselamatan yang tertinggi, meningkatkan persaingan dan akhirnya memberi peluang kepada pelumba dan penonton menikmati acara perlumbaan tersebut.

“Acara yang diiktiraf MAM dijalankan dengan mematuhi garis panduan am dan teknikal ditetapkan pihak Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) berkaitan penganjur, kemudahan, peserta dan kenderaan,” menurut kenyataan itu.

Justeru, menurut kenyataan itu pihak MAM tidak menyokong acara yang tidak mematuhi aspek keselamatan yang ditetapkan termasuk keselamatan pegawai, pelumba, penonton dan penganjur.

Menurutnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan MAM telah mengadakan perbincangan bagi mengemas kini pentadbiran dan undang-undang acara sukan permotoran supaya ia lebih teratur serta tersusun.

“Pihak MAM amat berharap agar semua pihak yang berkenaan dapat memberi kerjasama untuk memastikan bahawa penganjuran yang tidak diiktiraf seperti ini dapat dihalang demi mengelakkan kejadian sedemikian berulang,” menurut MAM.

Menurut laporan media, pelumba drag Hattem Rashdi meninggal dunia semalam selepas 12 jam bertarung nyawa akibat kemalangan di litar lumba pada Ahad ketika menyertai Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023.

MAM juga menyatakan rasa dukacita atas pemergian Hattem dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah.

Sumber: BERNAMA

BACA: Detik Cemas Kereta Terbang Sewaktu ‘Drag Race’ Sampai Meletup, Pakar Automotif Dedah Punca

The post Perlumbaan Drag Ragut Nyawa Tiada Pengiktirafan MAM appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *