Perkeso saran mencarum

Perkeso Saran Individu Terlibat Sektor P-Hailing, E-Hailing Segera Mencarum

SUNGAI PETANI, 28 Ogos (Bernama) — Individu yang terlibat dalam sektor penghantaran makanan (p-hailing) dan pengangkutan penumpang (e-hailing) disaran segera mendaftar serta membuat caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menjamin kebajikan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata masih ramai daripada golongan itu didapati tidak mencarum dengan Perkeso apabila hanya 29.8 peratus atau 208,818 individu berbuat demikian daripada keseluruhan 700,704 orang yang aktif.

“Masih ramai yang tidak mencarum sedangkan kerajaan membiayai 80 peratus (RM186.20) daripada caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi Pelan Caruman 2…anda hanya perlu bayar 20 peratus (RM46.60) sahaja.

“Caruman ini untuk menjaga kebajikan keluarga…kita perlu ambil iktibar daripada nahas kapal terbang terhempas (di Elmina) baru-baru ini…saya harap mereka yang belum daftar tampil untuk mendaftar dan mencarum,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 kepada keluarga penghantar makanan Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina pada 17 Ogos lepas, di Taman Sidam Kiri di sini hari ini.

BACA: Viu Buat Showcase Percuma 31 Ogos, Boleh ‘Meet & Greet’ Artis Termasuk Bunkface & MK K-Clique

Mohammed Azman berkata agensi itu mempunyai kerjasama baik dengan syarikat p-hailing dan e-hailing serta akan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik untuk memudahkan individu yang terlibat dalam sektor itu membuat pendaftaran dan membayar caruman.

“Kita sedang dalam perbincangan dengan syarikat terbabit untuk mencari cara bagi memudahkan mereka mendaftar dan membuat bayaran sama ada secara bulanan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya meluluskan 3,112 kes tuntutan faedah SKSPS membabitkan nilai keseluruhan RM16.98 juta setakat ini, berbanding 4,383 kes dengan bayaran RM14.3 juta sepanjang tahun lepas.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata waris Muhamad Hafiz bakal menerima pencen Perkeso berjumlah RM1,894.75 sebulan bermula September ini apabila mangsa meninggal dunia semasa mencarum di bawah SKSPS sekali gus melayakkan mendapat faedah itu.

Menurutnya jumlah pencen bulanan itu termasuk dengan Pencen Penakat bernilai RM778.75 kerana semakan Perkeso mendapati Allahyarham Muhamad Hafiz turut memiliki kelayakan pencen berkenaan dengan rekod caruman terakhir pada Jun 2021 semasa berkhidmat di sebuah syarikat logistik.

Bapa kepada Muhamad Hafiz, Muhamad Salleh Othman, 57, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas kesungguhan agensi itu membela kebajikan keluarganya.

Sumber: BERNAMA

The post Perkeso Saran Individu Terlibat Sektor P-Hailing, E-Hailing Segera Mencarum appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *