Ibnor Riza tinggal enam bulan

Penyanyi Popular Era 80-An, Ibnor Riza Diramal Tinggal Enam Bulan Untuk Hidup

Doktor meramalkan jangka hayat yang dimiliki oleh penyanyi popular era 80-an iaitu Ibnor Riza hanya berbaki enam bulan sahaja, lapor Sinar Harian.

Ia adalah disebabkan penyanyi lagu ‘Mimpi Yang Tak Sudah’ itu disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat.

Beliau bagaimanapun tidak pernah putus semangat dan masih meneruskan ikhtiar untuk sembuh dan melawan penyakit itu.

Menurutnya, soal ajal dan maut ini sudah ditetapkan oleh Allah. Oleh itu, beliau akan terus berjuang dan tidak akan mengalah untuk meneruskan hidup walaupun didiagnos menghidapi kanser limfoma di tahap empat.

Ibnor yang disahkan menghidap kanser sejak sembilan bulan lalu memberitahu bahawa dirinya akan terus berusaha selagi mampu untuk melawan penyakit itu.

“Kalau hendak difikirkan apa yang doktor cakap, saya ada hanya enam bulan untuk hidup, saya jadi sedih. Doktor berterus-terang selepas rawatan kemoterapi kesembilan, baru-baru ini gagal.

“Jadi, maknanya saya hanya ada enam bulan untuk hidup, tetapi saya tidak mahu pegang kata-kata itu. Saya percaya kepada ALLAH. Kanser ini, kita kena lawan.

“Lagipun, saya ada keluarga dan anak. Mereka perlukan saya. Dengan sokongan yang diberi, takkan saya hendak hampakan ramai orang. Saya kena kuat walaupun saya tidak sekuat mana pun sekarang ini,” katanya.

Perlu menjaga emosi dan pemakanan

Bercerita lanjut berkenaan tahap kesihatannya sekarang, Ibnor menjelaskan bahawa dia kini perlu menjaga emosi dan pemakanannya bagi mengelakkan tekanan.

“Saya tidak boleh stres. Jika tertekan, kelenjar pada leher akan membengkak. Jadi, saya kena selalu jaga emosi. Sebab itulah, saya mahu cepat lakukan rawatan kemoterapi. Apa yang bahaya sekarang adalah jika sel kanser hampir ke otak.

“Kalau sel kanser pergi ke otak, tidak boleh buat apa-apa. Kanser saya dalam darah. Kita tidak boleh kawal kanser itu merebak,” ujarnya.

BACA: Seram, Wanita Rakam Kucingnya Bersikap Aneh Sebelum “Catwheel” Tiba-Tiba Bergerak Sendiri

Pada 19 Februari lalu, Ibnor telah disahkan menghidap pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, kolestrol tinggi dan darah tinggi.

Selain itu, beliau juga disahkan menghidap beberapa penyakit lain seperti buasir dan migrain yang teruk.

Kanser hanya dapat dikenal pasti selepas Ibnor melakukan pemeriksaan kesihatan susulan mengalami bengkak pada leher.

Sumber: Sinar Harian

The post Penyanyi Popular Era 80-An, Ibnor Riza Diramal Tinggal Enam Bulan Untuk Hidup appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *