ahmad zahid pertuduhan lepas

Pendakwaan Mohon Ahmad Zahid Lepas Tanpa Bebas Daripada 47 Pertuduhan

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) — Pihak pendakwaan dalam kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon kepada mahkamah supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya ingin memberhentikan prosiding bagi kesemua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid, yang memberi kesan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan.

“Selaras dengan peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, pihak pendakwaan ingin memberhentikan prosiding ke atas semua pertuduhan terhadap tertuduh (Ahmad Zahid) dengan mengemukakan 11 alasan,” katanya.

Prosiding ditangguh seketika untuk Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan, selepas peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili yang Ahmad Zahid memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan.

Ahmad Zahid, 70, telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar kesemua pertuduhan terhadapnya digugurkan.

BACA JUGA: Peguam Mohon AG Segerakan Keputusan Representasi Kaji Pertuduhan Ahmad Zahid

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari lepas manakala kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan kes itu kini di peringkat pembelaan. Pihak pembelaan setakat ini telah memanggil 15 saksi termasuk Ahmad Zahid untuk memberi keterangan.

Sumber: BERNAMA

The post Pendakwaan Mohon Ahmad Zahid Lepas Tanpa Bebas Daripada 47 Pertuduhan appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *