Pekerja lelaki maut jatuh

Pekerja Lelaki Maut Jatuh Dari Ketinggian 4.59 Meter

KEPALA BATAS, 22 Sept (Bernama) — Seorang lelaki meninggal dunia semalam selepas sembilan hari bertarung nyawa akibat terjatuh pada ketinggian 4.59 meter (m) ketika menjalankan kerja-kerja menukar siling sebuah institusi kemahiran di sini pada 12 Sept lepas.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mangsa yang berusia 48 tahun merupakan pekerja sub kontraktor dilantik untuk melakukan tugas senggaraan dan pembaikan di institusi berkenaan.

Menurutnya, majikan telah mendirikan perancah jenis “A frame” sebagai pelancar kerja sebelum mangsa dipercayai terjatuh dari pelantar kerja yang patah dalam kejadian 5 petang itu dan pihak JKKP Pulau Pinang terus ke lokasi kejadian sebaik mendapat panggilan berhubung insiden itu.

“Mangsa yang merupakan warga tempatan bersama dua pekerja lain sedang menukar siling berhadapan pentas di dewan institusi terbabit sebelum terjatuh dari ketinggian 15 kaki (4.59 m) dan dia yang tidak sedarkan diri berikutan kecederaan dialaminya dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan.

“Mangsa menerima rawatan sebelum dilaporkan meninggal dunia semalam dan susulan itu, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan satu notis larangan terhadap kontraktor terbabit menjalankan kerja-kerja di tempat tinggi sehingga langkah sewajarnya diambil,” menurut kenyataan itu.

BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas

Kenyataan itu turut memaklumkan pada masa sama, JKKP Pulau Pinang akan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Katanya, majikan mempunyai kawalan penuh bagi sebarang aktiviti di tempat kerja dan mereka bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja bagi mengurangkan risiko keselamatan terhadap pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.

“Kemalangan seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Pekerja Lelaki Maut Jatuh Dari Ketinggian 4.59 Meter appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *