umrah abdul rahman

Nahas Di Segamat: Syarikat Pelancongan Taja Umrah Buat Abdul Rahman

Pengarah syarikat pelancongan Jay Ibrahim Al-Islam, Hariz Radzi bermurah hati mahu menaja pakej menunaikan umrah buat anak mangsa nahas enam beranak maut di Segamat, Johor baru-baru ini.

Lapor Sinar Harian, Hariz Radzi berkata tajaan itu diberikan kepada Abdul Rahman Amir Ruddin, anak sulung kepada enam beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Segamat-Kuantan Jumaat lalu.

Jelasnya, Abdul Rahman berjaya dihubungi oleh pihaknya selepas dia meluahkan hasrat untuk menajanya di satu kumpulan di Facebook.

Dia turut mengambil peluang berterima kasih kepada orang ramai kerana telah membantunya mendapatkan maklumat berkenaan anak sulung keluarga itu.

“Terima kasih sekali lagi, rakyat Malaysia sememangnya sangat prihatin. Mari sebarkan positiviti.

“Doakan usaha kecil kami ini dipermudahkan dan dapat memberi manfaat kepada adik Abdul Rahman dan keluarga serta mendapat keberkatan ALLAH SWT,” katanya.

Sebelum ini, Hariz Radzi meminta pertolongan daripada semua pihak untuk memberikan maklumat tepat mengenai Abdul Rahman.

“Siapa yang ada nombor telefon adik ini, saya nak taja pergi buat umrah. Tolong hubungi saya supaya saya terus hantar ke Mekah,” tulisnya.

Enam beranak maut

Terdahulu, media melaporkan kemalangan berkenaan yang berlaku pada 6.37 petang Jumaat lalu melibatkan lima kenderaan iaitu sebuah treler, sebuah Honda HRV, sebuah Proton Wira, sebuah Perodua Bezza dan Perodua Alza yang dinaiki mangsa sekeluarga.

Lima mangsa tersebut meninggal dunia di lokasi manakala Muhammad Assyakrawi, meninggal ketika menerima rawatan.

Seorang lagi anak Amir Ruddin yang juga mangsa kemalangan, Abdullah, 15, masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.

Difahamkan kejadian itu berlaku selepas sebuah lori membawa muatan pasir hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Honda HRV memperlahankan kenderaan kerana terdapat kerja-kerja pembaikan jalan sebelum lori yang bergerak dari arah sama gagal membrek dan hilang kawalan.

Akibat pelanggaran itu, lori berkenaan terbabas ke sebelah kanan jalan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza dinaiki tujuh sekeluarga itu.

Sumber: Sinar Harian

The post Nahas Di Segamat: Syarikat Pelancongan Taja Umrah Buat Abdul Rahman appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *