remaja 15 tahun segamat

Nahas Di Segamat: Remaja 15 Tahun Dalam Keadaan Stabil – Polis

SEGAMAT, 3 Sept (Bernama) — Keadaan remaja lelaki 15 tahun yang terlibat dalam nahas lima kenderaan yang meragut enam nyawa di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Jumaat lepas, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Ahmad Zamry Marinsah berkata mangsa, Abdullah Amir Ruddin yang masih mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat itu, kini menggunakan alat bantuan pernafasan.

Terdahulu, pihaknya telah terkesan berikutan satu laporan berita pada pukul 6.30 petang semalam yang mendakwa remaja berkenaan meninggal dunia.

“Polis mengesahkan berita berkenaan adalah tidak benar dan mangsa terbabit yang merupakan remaja lelaki berusia 15 tahun masih dirawat, di mana jumlah mangsa yang maut masih kekal enam orang.

Polis memohon agar semua pihak tidak mengeluarkan sebarang berita yang tidak pasti kesahihannya kerana ia boleh memberi kesan kepada emosi keluarga yang masih bersedih. Segala perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zamry berkata pihak media juga dinasihatkan agar mendapatkan segala maklumat dari pihak berwajib sebelum mengeluarkan sebarang berita bagi memastikan berita yang dikeluarkan adalah benar-benar sahih.

Dalam nahas Jumaat lepas itu, ibu dan bapa mangsa Norahimah Noor Muhammad, 43 dan Amir Ruddin Ismail, 46 serta empat beradik mangsa Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10 dan Muhammad Assyakrawi, 5 meninggal dunia dan jenazah kesemua mereka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah, Parit Jawa, Muar petang semalam.

Sumber: BERNAMA

BACA: Nahas Di Segamat: Syarikat Pelancongan Taja Umrah Buat Abdul Rahman

The post Nahas Di Segamat: Remaja 15 Tahun Dalam Keadaan Stabil – Polis appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *