muhyiddin fatwa haram

Muhyiddin Nafi Keluarkan Fatwa Haram Undi Calon PH

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa ucapannya dalam ceramah di Pulai pada 2 September lalu dipetik di luar konteks oleh pihak tertentu.

Menerusi satu kenyataan di Facebook, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata pihak tersebut telah memanipulasi ucapannya dengan mengatakan beliau kononnya telah mengeluarkan fatwa haram memberi undi kepada calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai.

“Ucapan saya panjang. Saya menyentuh pelbagai isu yang dihadapi oleh rakyat pada masa ini terutama sekali bebanan kos sara hidup yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan PH.

“Kerana itu saya menyeru kepada pengundi-pengundi di Parlimen Pulai supaya jangan memberi undi kepada calon PH, Suhaizan Kayat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, beliau hanya berkias dan tidak mempunyai niat mengeluarkan fatwa hukum syarak bahawa haram mengundi calon PH.

“Saya hanya secara berkias menyebut ‘saya bagi hukum haram’ dengan tiada niat bahawa ianya adalah fatwa hukum syarak.

“Kerana saya tahu apa yang saya sebut itu bukanlah fatwa hukum syarak, saya selepas itu menyebut ‘ada esok ni yang mencabar saya ni ikut fatwa mana’,” ujarnya.

BACA: PRK Pulai: Polis Siasat “Fatwa” Politik Muhyiddin

Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, sebagai seorang yang faham tentang hukum-hakam agama, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang fatwa agama.

“Apatah lagi di negara kita terdapat badan-badan tertentu seperti Majlis Fatwa yang mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan fatwa selepas mengadakan muzakarah dengan para ulama’ dan ilmuwan yang pakar dalam bidang-bidang yang berkaitan.

“Saya percaya hadirin yang mengikuti keseluruhan ucapan saya semasa ceramah tersebut faham maksud saya,” tambahnya.

Sementara itu, Muhyiddin turut berkata berdasarkan respon hadirin pada malam itu, beliau yakin penonton tidak mengambil kenyataannya secara serius sebagai suatu fatwa agama.

“Saya percaya ucapan saya telah diambil secara di luar konteks dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mengelirukan orang ramai,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa haram memberikan undi kepada Suhaizan dalam ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru pada Sabtu lalu.

Sumber: Muhyiddin Yassin/Facebook

The post Muhyiddin Nafi Keluarkan Fatwa Haram Undi Calon PH appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *