anjing menyalak gempa bumi bali

Menyalak Tak Henti, Anjing Dirakam Seakan Beri ‘Amaran’ Awal Sebelum Gempa Bumi Gegar Bali

Pagi tadi, Laut Bali di Indonesia digegarkan dengan gempa bumi berukuran 7.0 magnitud, menurut Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC).

Difahamkan, gempa tersebut dikesan pada kedudukan 203 kilometer (km) utara Mataram, Indonesia dan pada kedalaman 526km di bawah permukaan bumi.

Bagaimanapun tiada sebarang kerosakan dan kemalangan jiwa dilaporkan ketika gempa bumi itu melanda.

Sebelum gempa itu berlaku, seekor anjing tidak berhenti menyalak sehingga ia disifatkan memberi ‘amaran’ awal kepada tuannya berkenaan dengan bencana alam.

Situasi itu dirakam melalui rakaman CCTV yang dimuat naik di Denpasar Viral menunjukkan beberapa ekor anjing menggonggong tanpa henti selama beberapa minit.

Kredit: Denpasar Viral/Facebook

Perkara itu menimbulkan keresahan kepada pemiliknya kerana tidak pernah melihat anjing peliharaannya bertindak sedemikian.

Pemilik tersebut cuba untuk menenangkan anjing itu namun tindakannya gagal kerana ia berterusan menyalak tanpa menghiraukan tuannya.

BACA: Bertarung Dengan Kanser, Ball Ball Si Anjing Meme Terkenal Baka Shiba Inu Mati

Haiwan boleh kesan bencana alam

Untuk pengetahuan, sesetengah haiwan dapat meramalkan bencana alam sebelum ia berlaku. Anjing, gajah dan haiwan lain dikatakan akan bertindak pelik sejurus sebelum gempa bumi dan taufan.

Biarpun mempunyai banyak anekdot, pakar tetap ragu-ragu tentang keupayaan haiwan untuk mengesan gempa bumi.

Hal ini kerana, tingkah laku haiwan yang luar biasa selalunya tidak jelas dan orang ramai hanya tahu mengenai kelakuan haiwan tersebut selepas berlakunya bencana alam.

Pengarang buku berkaitan anjing, Dr. Stanley Coren telah menjalankan satu kajian berhubung haiwan dan kesannya terhadap bencana alam di Universiti British Columbia di Vancouver Kanada.

Kajian mendapati bahawa sesetengah anjing boleh mengesan gempa bumi dengan peningkatan aktiviti dan kebimbangan yang diperhatikan 24 jam sebelum itu.

Dr. Coren mencadangkan bahawa anjing menggunakan deria pendengaran mereka yang luar biasa untuk menangkap bunyi nada tinggi batu yang mengikis di bawah bumi, menunjukkan tanda-tanda gempa bumi.

Difahamkan juga, anjing dengan telinga runcing dan saiz kepala yang lebih kecil mengesan bunyi dengan lebih baik berbanding anjing yang mempunyai telinga dan kepala yang lebih besar.

Walaupun anjing mungkin tidak memahami maksud di sebalik bunyi itu, namun ia mendorong mereka untuk melarikan diri.

Dalam satu kajian yang lain iaitu Jurnal Antarabangsa Penyelidikan Alam sekitar Awam dan Kesihatan Awam ia menyatakan deria bau anjing adalah 10,000 hingga 100,000 kali lebih kuat daripada manusia.

Perkara itu membolehkan mereka menghidu perubahan di udara sebelum ribut dan bencana lain.

Terdapat juga beberapa teori yang mencadangkan bahawa haiwan merasakan bumi bergegar sebelum manusia dan mungkin dapat mendengar infrasound, iaitu gemuruh frekuensi sangat rendah yang tercipta oleh kejadian semula jadi seperti gempa bumi dan gunung berapi.

Sumber: Denpasar Viral/Facebook, Petrelocation, Centers For Disease

The post Menyalak Tak Henti, Anjing Dirakam Seakan Beri ‘Amaran’ Awal Sebelum Gempa Bumi Gegar Bali appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *