solat hajat Kesejahteraan

Menteri Agama Arah Masjid, Surau Buat Solat Hajat Untuk Kesejahteraan di Morocco, Libya & Sudan

PUTRAJAYA — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menganjurkan Solat Hajat di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 18 September 2023 (esok) selepas solat Maghrib.

Beliau dalam kenyataan tersebut turut memohon seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di bawah Seliaan Jabatan Kemajuan Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melaksanakan Solat Hajat pada tarikh dan waktu yang sama.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengikuti perkembangan laporan agensi media tempatan dan anatarabangsa berkenaan tragedi gempa bumi di Morocco, banjir besar yang melanda Libya termasuk konflik di Sudan.

“Saya dan seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan ucapan takziah buat semua mangsa dan seluruh ahli keluarga serta mendoakan kemudahan dan kelancaran bagi urusan mencari dan menyelamat mangsa khususnya di Morocco dan Libya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai bersama-sama mendoakan kesejahteraan buat seluruh rakyat Morocco dan Libya serta menghulurkan apa jua bentuk bantuan kepada mangsa-mangsa yang menghadapi ujian susulan bencana tersebut.

Selain itu, beliau juga berdoa supaya segala usaha perdamaian akan berjaya menyelesaikan konflik yang meletus di negara Sudan.

BACA JUGA: Mohon Doa Dan Solat Hajat Untuk Kesembuhan Ayahanda Tuan Guru – Anak

Pada awal bulan lalu, kita dikejutkan dengan bencana gempa bumi kuat yang melanda Morocco, lapor AFP.

Kementerian Dalam Negeri Maghribi memberitahu bahawa gempa bumi itu bermagnitud 6.8.

Sementara itu, banjir besar dilaporkan melanda timur Libya pada hujung minggu lalu mengakibatkan angka kematian dijangka mencecah 20,000 orang. Kawasan yang dilaporkan terjejas teruk adalah bandar Derna, lapor Bernama menerusi agensi berita Jerman (dpa).

Difahamkan, banjir itu berpunca akibat ribut kuat yang melanda dan keadaan diburukkan lagi dengan dua empangan yang runtuh di bandar berkenaan.

Manakala sejak berbulan-bulan lalu, Sudan mengalami konflik dalaman di dalam negara berkenaan, lapor BBC.

Difahamkan, konflik yang tercetus di ibu negara, Khartoum dan beberapa kawasan lain berpunca dari perebutan kuasa yang berlaku dalam kepimpinan tentera negara.

Sumber: Twitter X @Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im

The post Menteri Agama Arah Masjid, Surau Buat Solat Hajat Untuk Kesejahteraan di Morocco, Libya & Sudan appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *