Mangsa Banjir Di Perak Meningkat Pagi Ini

Mangsa Banjir Di Perak Meningkat Pagi Ini

IPOH, 22 Sept (Bernama) — Jumlah mangsa banjir kilat di Perak meningkat pagi ini dengan 129 mangsa daripada 48 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di daerah Taiping, Selama dan Batang Padang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan dua PPS baru dibuka pagi ini iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Jernih, Selama yang menempatkan 34 mangsa daripada 14 keluarga manakala seramai 38 mangsa daripada 16 keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Klah, Sungkai.

Jumlah mangsa banjir di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt, Taiping yang dibuka sejak semalam masih kekal dengan 57 mangsa daripada 18 keluarga.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Perak memaklumkan paras air Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang, Sungai Bidor di Changkat Jong dan Sungai Kerian di Selama berada pada paras berjaga-jaga.

Paras air di Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang merekodkan bacaan 13.19 meter, Sungai Bidor di Changkat Jong pula mencatatkan bacaan 3.20 meter manakala Sungai Kerian di Selama, pada paras 11.31 meter.

Ribut diramal berlaku pada sebelah petang di beberapa daerah antaranya Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak dan Batang Padang manakala hujan diramalkan melanda beberapa daerah antaranya Kampar, Hulu Perak dan Kerian.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan hanya satu lorong dibuka untuk dilalui semua kenderaan di FT077 Jalan Pengkalan Hulu-Sempadan Thailand Seksyen 5 di Hulu Perak akibat runtuhan dan pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Jalan A 156 Jalan Karai-Jawang Trosor di Kuala Kangsar pula ditutup kepada semua kenderaan buat masa ini akibat tanah runtuh di kawasan itu.

BACA: Mudah Je, Ini Cara Nak Goreng Sosej, Jadi Cantik Berkilat & Tak Berkedut

Sumber: Bernama

The post Mangsa Banjir Di Perak Meningkat Pagi Ini appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *