Kahwini 7 Wanita Serentak

Lelaki Kahwini 7 Wanita Serentak, Idam Miliki 100 Anak

Seorang pengantin lelaki dilaporkan mengahwini tujuh wanita secara serentak pada hari yang sama dan dua daripadanya dilaporkan adalah adik beradik, lapor The Sun.

Pengantin yang dikenali sebagai Habib Nsikonnene adalah merupakan seorang pakar perubatan tradisonal yang terkenal di Uganda.

Majlis perkahwinan yang meriah itu telah diadakan secara besar-besaran pada hari Ahad lalu.

Lelaki berusia 43 tahun itu turut memberitahu bahawa dia bercadang untuk mempunyai lebih ramai isteri pada masa akan datang.

Keputusan itu dibuat agar impiannya untuk memiliki 100 orang anak akan tercapai.

Dia memberitahu Monitor: “Dalam keluarga saya, kami sangat sedikit, jadi saya mahu melahirkan ramai anak supaya kami membina keluarga yang besar.”

Sebagai persiapan untuk perkahwinan itu, dia telah memberikan setiap isterinya sebuah kereta baru dan ibu bapa mereka turut diberikan pelbagai hadiah.

Ia termasuk motosikal untuk ibu bapa kedua-dua isterinya yang merupakan adik-beradik.

Perkahwinan yang meriah itu bukanlah yang pertama buat Habib kerana dia dipercayai sudah mempunyai seorang isteri selama tujuh tahun perkahwinannya.

Difahamkan, Habib telah mengahwini setiap pengantin secara berasingan dalam upacara adat di rumah masing-masing sebelum diiringi ke majlis resepsi di rumahnya.

Pengantin perempuan tiba dengan bergaya menaiki kenderaan mereka sendiri yang bernombor pendaftaran peribadi di antara armada 40 limo dan 30 motosikal.

Majlis perkahwinan yang meriah itu juga disambut dengan konsert megah buat para tetamu yang hadir.

“Orang mungkin tidak percaya ia adalah benar, yang lain berkata ia adalah kali pertama mereka menyaksikan acara sedemikian,” kata seorang tetamu yang hadir.

Kredit CEN

Habib memuji isterinya kerana tidak cemburu

Pada majlis resepsi itu, Habib memuji isteri-isterinya dan memberitahu para tetamu bahawa kesemua isterinya tidak saling mencemburui.

“Isteri saya tidak mempunyai rasa cemburu di antara mereka sendiri. Saya memperkenalkan mereka secara berasingan dan mengahwini mereka sekaligus untuk menjadi satu keluarga bahagia,” ucap Habib di hadapan tetamu.

Selepas perayaan itu, Habib dan isteri-isterinya dibawa berarak oleh penunggang basikal dan motosikal melalui pekan tempatan sebelum pulang ke rumah.

Kredit CEN

Menurut bapa Habib, poligami yang sah di Uganda adalah perkara biasa dalam keluarganya.

“Datuk saya mempunyai enam isteri yang dipisahkan dengan tirai dalam satu rumah.

Arwah bapa saya sendiri mempunyai lima isteri dan saya sendiri mempunyai empat isteri yang tinggal dalam satu rumah,” cerita bapa Habib.

Berita perkahwinan Habib itu dikatakan telah memecahkan rekod di Uganda dalam kategori isteri paling ramai dalam satu hari.

Sumber: The Sun

The post Lelaki Kahwini 7 Wanita Serentak, Idam Miliki 100 Anak appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *