Skim Perubatan Madani

Lebih Ramai B40 Terima Manfaat Skim Perubatan Madani

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) — Inisiatif kerajaan menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma melalui Skim Perubatan MADANI dapat dinikmati lebih ramai golongan B40 termasuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) apabila ia diperluas ke tujuh daerah terbaharu.

Pelaksanaan Skim Perubatan MADANI ke tujuh daerah itu bermula minggu keempat Ogos, melibatkan Perlis, Kota Bharu dan Pasir Mas (Kelantan), Kuantan (Pahang), Melaka Tengah (Melaka), Seremban (Negeri Sembilan) dan Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang), menjadikan kini skim berkenaan tersedia di 21 daerah seluruh negara.

Skim Perubatan MADANI ditawarkan secara automatik kepada penerima STR untuk meringankan beban kewangan rakyat dengan menampung kos rawatan kes akut dan antara perkhidmatan percuma ditawarkan konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur serta rujukan di klinik perubatan swasta umum.

Rata-rata penerima manfaat menzahirkan rasa syukur kerana mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan kesihatan secara percuma di klinik perubatan swasta dan tidak lagi perlu menunggu lama di klinik kesihatan.

Pekerja am di Perlis, Zainuddin Mohamad, 47, berkata inisitiaf yang diperkenalkan itu membuktikan kerajaan hari ini peka dan ambil tahu dengan kesusahan dialami rakyat.

“Kalau tiada RM50, kami tidak berani ke klinik swasta, nak ke klinik kerajaan pula orang terlampau ramai…bila ada bantuan ini saya sangat bersyukur,” katanya kepada Bernama.

Skim Perubatan MADANI memperuntukkan RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, warga emas tanpa pasangan (RM125), bujang (RM75) dan penerima boleh mendapatkan beberapa kali rawatan percuma hingga peruntukan bagi setiap isi rumah habis.

Di Kelantan, warga emas yang menetap di Pasir Tumboh, Kota Bharu, Nulgilan Yusof, 67, berkata dengan adanya skim itu beliau berpeluang untuk ‘merasa’ khidmat kesihatan di klinik swasta yang lebih dekat dengan rumahnya dan lebih selesa, berbanding sebelum ini di Klinik Kesihatan Peringat.

“Setakat ini, tiada lagi peluang yang disediakan macam ini. Terima kasih kepada kerajaan kerana beri ruang kepada kami untuk turut merasai khidmat kesihatan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, doktor perubatan di Klinik Lestari yang terletak di bandar satelit Pasir Tumboh, Dr Norhanis Sanusi berkata pihaknya kini sedang membuat persiapan akhir bagi memulakan khidmat rawatan Skim Perubatan MADANI, minggu depan.

Beliau berkata pemilihan klinik itu sebagai antara lokasi rawatan di bawah skim berkenaan sangat bertepatan dengan jumlah penduduk yang agak padat di sekitar Pasir Tumboh.

BACA LAGI: 70 Klinik Daif Siap Dinaik Taraf Menerusi Inisiatif Bitara Madani – Lukanisman

Dalam pada itu, beberapa penerima manfaat tersebut di Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang menyifatkan skim itu memberi kemudahan kepada mereka untuk mendapat rawatan yang lebih cepat di klinik swasta terutamanya pada waktu malam dan hari minggu.

Peniaga, Fatimah Hassan, 55, dari Bukit Rambai, Melaka berkata sebelum ini, beliau terpaksa menunggu lama di klinik kesihatan milik kerajaan walaupun hanya mengalami demam biasa.

“Walaupun Skim Perubatan MADANI ini hanya meliputi kes ringan seperti demam, cirit-birit dan muntah, ia amat bermakna kepada saya kerana kos rawatan bagi sakit seperti itu pun boleh mencecah antara RM30 hingga RM80 bagi sekali rawatan di klinik swasta,” katanya.

Bagi pelajar yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan, Nismalina Natasha Zainal Abidin, 20, berkata usaha kerajaan itu perlu berterusan dan diperluaskan perkhidmatannya bagi pemeriksaan penyakit kronik pada masa akan datang.

Penerima STR di Pulau Pinang, Mohd Muaz Ahmad, 45, berkata skim itu memberi banyak kelebihan kepada beliau sekeluarga terutama jika ada dalam kalangan mereka yang sakit pada waktu malam atau hari minggu untuk terus ke klinik swasta.

“Memang boleh pergi ke hospital kalau malam tapi untuk sakit yang tak serius saya rasa skim ini akan beri banyak manfaat kepada kami golongan B40, kami boleh terus ke klinik swasta untuk dapatkan rawatan secara percuma,” katanya.

Sementara itu di Pahang, Norhafizan Zulkifli, 36, yang bekerja sendiri berharap kerajaan dapat mempertimbangkan menaikkan jumlah bantuan Skim Perubatan MADANI untuk golongan bujang yang berjumlah RM75 kepada RM100 bagi membolehkan mereka benar-benar menikmati kemudahan itu.

Sumber: BERNAMA

The post Lebih Ramai B40 Terima Manfaat Skim Perubatan Madani appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *