kpdn jalin syarikat peruncitan

KPDN Jalin Kerjasama Dengan 16 Syarikat Peruncitan Untuk Kempen Beli Barangan Malaysia

PETALING JAYA, 13 Sept (Bernama) — Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalinkan kerjasama strategik dengan16 syarikat peruncitan tempatan terkemuka dalam usaha antara lain bagi meluaskan pasaran produk tempatan menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 (KBBM).

Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDN Datuk Rohaizi Bahari berkata kerjasama turut dijalin bersama tiga platform dalam talian iaitu Shopee, Lazada dan PG Mall bagi membantu melonjakkan ekonomi domestik dan penerimaan rakyat terhadap barangan tempatan.

“Dengan kerjasama ini, satu segmen khusus akan diwujudkan syarikat terlibat dengan meletakkan barangan buatan Malaysia seperti makanan, minuman, pakaian dan sebagainya di premis mereka sehingga akhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan prapelancaran KBBM 2023 di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini hari ini.

Beliau berkata antara syarikat peruncitan tempatan yang terlibat ialah Lotus’s Store, Mydin, Hypermarket, 99 Speedmart, Bataras, Econsave, Giant, Lulu Hypermarket, Hero Market, TF Value, The Store, Tunas Manja, Petronas Mesra, Shell Select, Mr D.I.Y dan Sabasun Hyperruncit.

Selain inisiatif berkenaan, Rohaizi berkata KPDN juga menjalin kolaborasi strategik bersama syarikat Animonsta dan Warnakala bagi mempromosikan KBBM menerusi watak animasi Papa Pipi dan Didi & Friends bagi menarik minat kanak-kanak dan ibu bapa muda untuk mewujudkan kesedaran terhadap barangan Malaysia yang berkualiti.

BACA JUGA: KPDN Kelantan Rampas 2.3 Tan Minyak Masak Bersubsidi

Menurutnya, kerjasama turut dijalin dengan Malaysia Bumiputera Designer Association (MBDA) dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dalam usaha mengangkat produk Malaysia menerusi segmen fesyen dan kraftangan.

Inisiatif lain yang dijalankan di bawah KBBM termasuk Karnival Barangan Malaysia dan Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia yang dijalankan secara berterusan.

Untuk Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023, Rohaizi berkata ia selepas ini akan diteruskan di empat negeri iaitu Sabah, Kedah, Johor dan Sarawak sebelum mengakhirinya dengan Jelajah Karnival Mega di Putrajaya pada hujung tahun ini sempena cuti sekolah.

Jelajah Mini Karnival itu akan berlangsung di Imago Shopping Complex, Kota Kinabalu dari Jumaat hingga Ahad ini, seterusnya di Aman Sentral Mall, Alor Setar, Kedah (21 hingga 23 Sept); Paradigm Mall, Johor Bahru (5 hingga 7 Okt) dan Bintang Megamall Miri, Sarawak ( 20 hingga 23 Okt).

Beliau berkata, setakat ini jelajah itu yang diadakan di Kuantan City Mall, Pahang pada 25 hingga 27 Ogos lepas mendapat sambutan yang menggalakkan.

Sumber: BERNAMA

The post KPDN Jalin Kerjasama Dengan 16 Syarikat Peruncitan Untuk Kempen Beli Barangan Malaysia appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *