dua kes positif jangkitan cacar monyet

KKM Sahkan Dua Kes Positif Jangkitan Cacar Monyet

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) — Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan terdapat dua kes positif jangkitan cacar monyet (mpox) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kes disahkan pada 26 Julai lepas melibatkan seorang lelaki warga asing manakala kes kedua adalah seorang lelaki tempatan yang merupakan kontak kepada kes mpox pertama serta disahkan positif mpox pada 29 Julai lepas.

“Kes pertama melibatkan seorang lelaki warga asing yang tinggal dan bekerja di Malaysia sejak April 2022. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara yang melaporkan kes mpox pada 6 Julai tahun ini dan kembali semula ke Malaysia pada 10 Julai.

“Beliau mula menunjukkan gejala pada 19 Julai dan lepuh mula muncul pada 23 Julai dan telah menjalani isolasi dan dibebaskan pada 10 Ogos setelah pulih sepenuhnya tanpa komplikasi. Beliau disyaki mendapat jangkitan semasa berada di luar negara iaitu negara yang melaporkan kes mpox,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata kes kedua mengalami gejala semasa dalam kuarantin kerana merupakan kontak kepada kes positif mpox dan telah diarahkan menjalani kuarantin sejak 27 Julai lepas dan disahkan positif mpox pada 29 Julai.

“Beliau masih dalam tempoh isolasi dan dalam keadaan sihat. Semua kontak bagi kes pertama telah dikenal pasti dan status kesihatan mereka telah dipantau. Tiada yang mengalami gejala jangkitan mpox kecuali kes kedua seperti dinyatakan. Kes kedua tidak mempunyai sebarang kontak rapat,” katanya.

Beliau berkata semua pengembara yang tiba dari negara-negara melaporkan mpox dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan mpox bagi tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

“Semua pengamal perubatan diminta untuk peka terhadap individu dengan gejala lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi (key population).

“Sejarah risiko kontak rapat dengan individu bergejala jangkitan mpox perlu didapatkan. Bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah atau serum boleh dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox,” katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata pada masa ini, terdapat 10 makmal menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan mpox iaitu lapan makmal kerajaan dan dua makmal swasta dan kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke pejabat kesihatan berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah kawalan dapat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

BACA: Viu Buat Showcase Percuma 31 Ogos, Boleh ‘Meet & Greet’ Artis Termasuk Bunkface & MK K-Clique

Menurutnya Mpox adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox dan jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.

“Tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima ke 21 hari dari tarikh pendedahan kepada jangkitan. Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering sepenuhnya. Lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.

“Gejala-gejala mpox adalah seperti demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian-bahagian tubuh yang lain. Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post KKM Sahkan Dua Kes Positif Jangkitan Cacar Monyet appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *