Tiga individu bantu siasatan Zayn Rayyan

Kes Zayn Rayyan: Tiga Individu Dipanggil Bantu Siasatan

Tiga individu termasuk pengasuh kepada Zayn Rayyan yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai pada Disember lalu, telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberikan keterangan pada Isnin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiga individu tersebut hadir di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Petaling Jaya bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.

“Selain pengasuh, dua lagi yang direkod keterangan adalah ahli keluarga kepada pengasuh itu.

“Ini merupakan sebahagian daripada proses siasatan, beberapa saksi lain juga mungkin akan dipanggil sekiranya ada keperluan untuk membantu siasatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pihak polis telah merampas telefon bimbit ibu dan bapa mangsa bagi membantu siasatan.

Terdahulu, pihak polis telah menahan ibu bapa Zayn Rayyan di kawasan Puncak Alam kira-kira jam 11 pagi, Jumaat sebelum mereka direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Sabtu.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh sekumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari mangsa.

Sebelum itu, mangsa dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan bahawa mangsa dipercayai dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak tersebut, yang menunjukkan tanda-tanda perbuatan jenayah.

BACA: Reman Tujuh Hari, Ibu Bapa Zayn Rayyan Disiasat Di Bawah 302 Kanun Keseksaan

Sumber: Sinar Harian

The post Kes Zayn Rayyan: Tiga Individu Dipanggil Bantu Siasatan appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *