11 alasan yayasan akalbudi

Kes Yayasan Akalbudi: Pendakwaan Kemuka 11 Alasan Untuk Mohon Supaya Berhentikan Prosiding

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) — Pihak pendakwaan telah mengemukakan 11 alasan untuk memohon supaya Mahkamah Tinggi memberhentikan prosiding kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi, yang membawa kepada keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, bahawa Ahmad Zahid telah membangkitkan isu yang amat serius di dalam surat-surat representasinya, antaranya berkenaan dakwaan bahawa beliau adalah mangsa pendakwaan terpilih kerajaan sebelum ini.

“Peguam Negara berpendapat bahawa amat penting untuk pihak pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat dan turut menyiasat dakwaan ini,” katanya.

Beliau berkata perkara ini sudah semestinya menyebabkan reputasi dan nama baik Jabatan Peguam Negara (AGC) dan SPRM tercemar, dan dilihat melalui kaca mata umum seolah-olah kedua-dua institusi undang-undang ini telah diperalatkan pihak tertentu.

“Tertuduh (Ahmad Zahid) telah mengemukakan dua surat representasi kepada AGC, masing-masing pada Disember 2022 dan Januari 2023. Lanjutan daripada representasi itu, pihak SPRM pada Januari 2023, memaklumkan kepada AGC bahawa adalah penting untuk siasatan lanjut lebih terperinci, mendalam dan menyeluruh dibuat,” katanya.

BACA: Peguam Mohon AG Segerakan Keputusan Representasi Kaji Pertuduhan Ahmad Zahid

Ahmad Zahid yang merupakan Timbalan Perdana Menteri, sekali lagi menurutnya pada Februari dan Mac lepas mengemukakan empat lagi surat representasi yang membangkitkan isu-isu dan bukti-bukti baharu yang sudah semestinya memerlukan SPRM menyiasat perkara-perkara ini.

“Selain itu, surat representasi tertuduh turut menyentuh isu berkenaan siasatan terhadap tertuduh sebelum, semasa dan selepas beliau dituduh di mahkamah yang dikatakan telah dibuat secara terburu-buru, cuai, pra-matang dan tidak lengkap,” katanya.

Mohd Dusuki berkata setakat ini 15 saksi pembelaan dipanggil termasuk Ahmad Zahid sendiri, dan beliau berpendapat bahawa keterangan-keterangan saksi-saksi ini perlu diteliti pihak pendakwaan dan juga SPRM.

Tambah Mohd Dusuki, untuk tidak menafikan hak Ahmad Zahid dan tidak berlaku “miscarriage of justice”, beliau percaya pertuduhan terhadap tertuduh perlu diberhentikan buat masa ini, tetapi hanya memberikan kesan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) kepada Ahmad Zahid, sehingga siasatan yang lebih menyeluruh dan lengkap selesai.

BACA: Pendakwaan Mohon Ahmad Zahid Lepas Tanpa Bebas Daripada 47 Pertuduhan

“Kami juga percaya mahkamah yang mulia ini ambil maklum berkenaan pengumuman Jemaah Menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu dibangkitkan dalam buku memoir tulisan bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas dan pendedahan dibuat beliau berkaitan pertuduhan yang dibuat terhadap individu-individu tertentu.

“Malah, ia juga sebenarnya adalah selaras dengan tujuan RCI tersebut yang antara lainnya, bertujuan menyiasat dakwaan-dakwaan berkenaan pelanggaran tanggungjawab profesional oleh pemegang-pemegang jawatan tertinggi dalam negara ini,” katanya.

Pendakwaan juga berkata, baru-baru ini juga satu memo dalaman yang dikatakan dikeluarkan AGC berkaitan kes yang sedang dibicarakan itu telah tular di media sosial.

“AGC sedang mengambil langkah untuk menentusahkan kandungan memo dalaman tersebut. AGC berpendapat ini adalah penting kerana ia turut menyentuh secara langsung, isu-isu yang dibangkitkan tertuduh melalui representasi-representasi yang dikemukakan beliau, dan menguatkan lagi alasan-alasan AGC untuk siasatan secara menyeluruh dijalankan bagi kes melibatkan tertuduh,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

Sumber: BERNAMA

The post Kes Yayasan Akalbudi: Pendakwaan Kemuka 11 Alasan Untuk Mohon Supaya Berhentikan Prosiding appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *