kerjasama dap-bn

KERJASAMA DAP-BN JAMIN KESENANGAN RAKYAT – LIM GUAN ENG

PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) — Kerjasama DAP-Barisan Nasional (BN) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan menjamin kesenangan kepada rakyat, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Berucap pada Persidangan DAP 2023 di sini hari ini, beliau berkata hubungan yang terjalin selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk menjaga rakyat dan negara demi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, adalah amat dihargai.

“Daripada lawan jadi kawan, asalkan rakyat boleh senang. Setahun lepas, ini memang tak diduga,” katanya yang turut menyifatkan kehadiran Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO dan rombongannya yang buat kali pertama menghadiri Persidangan Parti DAP sebagai suatu peristiwa bersejarah kepada parti.

Katanya dalam tempoh sembilan bulan, Kerajaan Perpaduan telah berjaya mengawal inflasi ke tahap rendah iaitu dua peratus pada bulan Julai dan juga pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Kini ada National Industry Master Plan untuk menarik pelaburan RM95 bilion agar gaji median bulanan boleh berganda sebanyak RM4,150 pada 2030,” katanya.

Menyentuh mengenai kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram semalam, Lim berkata ia membuktikan rakyat memberi sokongan kepada parti dalam Kerajaan Perpaduan kerana mahu kerajaan berbilang bangsa yang berkhidmat dan menjaga semua tanpa mengira kaum serta agama.

“Itulah aspirasi semua rakyat daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Malaysia milik kita yang lahir di sini, membesar di sini, kerja, membayar cukai, berumahtangga dan hidup di sini,” katanya.

Katanya sokongan juga diberikan kepada kerajaan sekarang di atas kecekapan menguruskan ekonomi dan kos sara hidup.

Jelasnya pihaknya tidak akan terikut-ikut dengan permainan politik kotor yang memainkan sentimen kaum dan ekstremisme serta politik fitnah, adu domba, kebencian, momokan dan ugutan yang memecah belahkan rakyat tanpa manfaat kepada sesiapa pun.

“Jangan percaya serigala politik yang bertopengkan negarawan berprinsip atau orang muda yang mendukung politik lama dan yang penuh dengan hasad dengki semata-mata nak balas dendam,” kata Lim.

Dalam pada itu, beliau yakin Pakatan Nasional (PN) akan memutar-belitkan kekalahan mereka sebagai suatu kemenangan kerana undi mereka bertambah.

“Saya nak ingatkan PN bahawa mereka pernah sebut pilihan raya enam negeri adalah referendum rakyat terhadap pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), tetapi PH-BN menang undi popular dengan 49.5 peratus berbanding dengan PN 49.3 peratus.

Pada PRK Parlimen Pulai, calon PH Suhaizan Kaiat menang dengan majoriti 18,641 undi menewaskan Zulkifli Jaafar daripada PN dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi manakala di DUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman menang dengan majoriti 3,514 undi menewaskan calon PN Dr Mohd Mazri Yahya dan calon Bebas, S Jeganathan.

Sumber: BERNAMA

The post Kerjasama DAP-BN Jamin Kesenangan Rakyat – Lim Guan Eng appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *