latihan kebangsaan 2024

Kerajaan Sasar 150,000 Penyertaan Pada Minggu Latihan Kebangsaan 2024

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) — Kementerian Sumber Manusia melalui Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) menyasarkan sejumlah 150,000 penyertaan bagi Minggu Latihan Kebangsaan 2024 (NTW 2024) yang akan berlangsung pada 24 dan 30 Jun tahun ini.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata matlamat optimis itu adalah susulan impak mengagumkan pada program sama yang berlangsung selama seminggu dan menyaksikan penyertaan lebih 129,000 rakyat Malaysia yang mendaftar untuk mengikuti pelbagai kursus latihan selain mencatat rekod lebih 500,000 jam latihan secara kumulatif.

Beliau berkata penganjuran NTW pada tahun ini menampilkan kelainan dengan penyertaan turut dibuka kepada penjawat awam selain menawarkan latihan berkaitan kecerdasan buatan dan sektor ekonomi digital.

“HRDCorp seperti yang kita sedia maklum menerima levi latihan daripada syarikat berdasarkan bilangan pekerja dan kita ada kira-kira 1.2 juta SME (syarikat kecil dan sederhana) di Malaysia tetapi SME yang memiliki keupayaan membayar levi hanya kira-kira 80,000.

BACA: Kerajaan Perpaduan Tidak Masuk Campur Kes Siasatan Individu Bergelar Tun – Fahmi Fadzil

“Justeru itu, kita tahu bahawa pasaran untuk latihan ini amat luas, mereka tidak membayar levi tetapi untuk NTW ini, HRD Corp akan memberikan latihan percuma kepada semua rakyat Malaysia tak kira dari syarikat yang bayar atau tidak mampu bayar levi termasuk juga kepada individu,” katanya.

im berkata demikian pada sidang media selepas majlis prapelancaran NTW 2024 di sini hari ini.

Beliau turut menyasarkan penganjuran tahun ini untuk menjadi landas pelancaran dalam melonjakkan kredibiliti pemberi latihan dalam negara bagi mencapai kualiti tahap antarabangsa.

“… kita ada ekosistem, kita ada syarikat-syarikat industri bertaraf dunia (MNC) dan pekerja pekerja kita yang bekerja untuk MNC ini ada kemahiran bertaraf dunia maka saya rasa bukan satu perkara yang mustahil pusat pemberi latihan kita di Malaysia mampu menjadi pusat pemberi latihan bertaraf dunia.

“Sekarang kita melatih rakyat Malaysia tapi cita-cita kita ialah jadikan Malaysia sebagai sebuah hab latihan di mana mungkin ada pelatih atau pelajar dari luar negara datang ke negara ini untuk menerima latihan,” katanya.

NTW 2024 bakal menawarkan sebanyak 25,000 latihan dalam pelbagai bidang secara percuma untuk setiap peringkat umur dengan keseluruhan latihan bernilai RM200 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak industri pemberi latihan.

Sumber: BERNAMA

The post Kerajaan Sasar 150,000 Penyertaan Pada Minggu Latihan Kebangsaan 2024 appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *