prk pulai johor

Kemenangan PRK Pulai, Simpang Jeram Bukti Rakyat Johor Matang Politik

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) — Kemenangan calon daripada Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram adalah bukti kematangan politik rakyat Johor, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ia menunjukkan bahawa rakyat Johor tidak mudah terpengaruh dengan politik fitnah selain yakin bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu untuk menjamin kestabilan yang diperlukan negara.

“Walaupun kita sedikit risau di Simpang Jeram, penganalisis politik mengatakan peluang untuk calon kerajaan ‘neck to neck’, di Pulai pula mereka katakan calon Kerajaan Perpaduan akan menang tetapi terlalu tipis, saya ingin mengatakan rakyat Johor memang matang dalam politik.

“… mereka tidak mudah termakan fitnah, sebagaimana yang berlaku di tiga negeri lain (ketika Pilihan Raya Negeri-PRN) di utara dan timur. Rakyat Johor mengetahui yang boleh menjamin kestabilan hanyalah kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-15 Parti Makkal Sakti di sini hari ini.

Keputusan PRK di Johor semalam menyaksikan PH mengekalkan status quo di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram selepas calon yang dipertaruhkan oleh parti itu menang di kedua-dua kerusi berkenaan dengan majoriti selesa.

BACA: Kerjasama DAP-BN Jamin Kesenangan Rakyat – Lim Guan Eng

Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman, kedua-duanya daripada Amanah, menewaskan saingan masing-masing dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperolehi 48,283 undi dengan 18,641 majoriti dan 13,844 undi dengan 3,514 majoriti.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kemenangan yang dicapai dengan majoriti yang agak kukuh itu juga merupakan referendum bahawa Kerajaan Perpaduan diterima dan mendapat keabsahan oleh rakyat.

“Kemenangan di Pulai bukan menang dua, atau tiga ratus undi, tetapi lebih 18,000 majoriti, kemenangan di Simpang Jeram lebih daripada kemenangan yang lalu, lebih 3,000 kalau seteru politik kita mengatakan yang ini adalah referendum untuk Kerajaan Perpaduan, memang benarlah ini adalah referandum bagi memperakui kestabilan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Mengulas mengenai PRK Pelangai beliau berkata calon daripada BN harus dipilih semula bagi memberikan kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat serta pengundi-pengundi di Pelangai, dan beliau sedang meneliti nama-nama bakal calon bersama Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Enam nama telah diserahkan, dan saya sedang meneliti bersama Pengerusi BN Pahang, dan kita akan senarai pendekkan dalam waktu yang terdekat,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Kemenangan PRK Pulai, Simpang Jeram Bukti Rakyat Johor Matang Politik appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *