saman Google Maps

Keluarga Mangsa Kemalangan Maut Saman Google Maps

Keluarga seorang lelaki dari North Carolina yang maut dalam kemalangan selepas memandu di jambatan runtuh telah bertindak menyaman Google Maps, lapor New York Post.

Ketika kejadian, lelaki itu sedang memandu mengikut arah yang ditunjukkan oleh peta Google.

Tindakan saman tersebut dilakukan kerana mereka mendakwa bahawa teknologi itu gagal mengemaskini sistem navigasinya selepas jambatan itu runtuh pada sembilan tahun lalu.

Mangsa dikatakan sedang memandu pulang dari parti hari jadi anak sulungnya pada 30 September 2022 lalu.

Menurut tuntutan mahkamah, kereta jenis Jeep yang dipandunya telah terjunam ke dalam Snow Creek di Hickory dan menyebabkan mangsa lemas.

Kredit WCNC

Bapa kepada dua orang anak berusia 47 tahun itu tidak biasa dengan kawasan kejiranan yang dipandunya pada malam yang gelap dan dilanda ribut.

Laluan itu telah diberikan oleh Google Maps dan ia mengarahkan untuk melalui sebuah jambatan yang runtuh hampir sedekad lalu.

“Anak-anak saya bertanyakan bagaimana dan mengapa ayah mereka meninggal dunia. Saya dah tak tahu nak kata apa untuk membuatkan mereka faham.

“Sebagai orang dewasa, saya masih tidak dapat memahami bagaimana mereka yang bertanggungjawab terhadap arah GPS itu boleh lalai,” kata isteri lelaki tersebut.

Kredit WCNC

Tambahnya, tiada halangan atau tanda amaran di sepanjang jalan terhadap jambatan yang runtuh dihanyut banjir pada 2013 yang lalu.

Kereta mangsa terjunam dari tepi yang tidak dihalang dan terhempas 20 kaki di bawah runtuhan jambatan.

Mayat mangsa telah ditemui oleh anggota tentera negeri di dalam kenderaannya yang terbalik dan sebahagiannya tenggelam.

Menurut tuntutan mahkamah, ramai orang telah membuat aduan pada Google Maps berkenaan jambatan rosak itu, namun tiada sebarang tindak balas dilakukan.

BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas

Sementara itu, Peronda Lebuhraya Negeri Carolina Utara berkata bahawa jambatan itu tidak pernah diselenggara oleh pegawai tempatan atau negeri.

Tuntutan itu telah difailkan di Wake County, North Carolina, oleh peguam isteri mangsa iaitu Robert Zimmerman.

Sumber: New York Post

The post Keluarga Mangsa Kemalangan Maut Saman Google Maps appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *