kanak-kanak maut kemalangan

Kanak-Kanak Empat Tahun Maut Dalam Kemalangan, Pemandu Warga Singapura Direman

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas motosikal yang ditunggang bapanya ketika pulang dari tadika terlibat dalam kemalangan, lapor Sinar Harian.

Kemalangan dilaporkan berlaku di kilometer 16 Jalan Sua Betong, Air Kuning, Negeri Sembilan kira-kira jam 1.30 petang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Port Dickson.

Menurut Aidi Sham, ketika kejadian, penunggang motosikal yang merupakan juruteknik Ladang Sua Betong sedang dalam perjalanan pulang selepas mengambil anaknya dari Pasti Al Hasan, Taman Desa Port Dickson.

Kemalangan dilaporkan melibatkan sebuah kereta Mercedes yang dipandu oleh seorang lelaki warga Singapura berusia 33 tahun.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua kenderaan itu bergerak dari arah Air Kuning menghala ke Sua Betong.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta berkenaan sedang memotong kenderaan di hadapannya lalu melanggar bahagian tepi kanan motosikal yang sedang membelok ke simpang kanan menghala ke Ladang Sua Betong,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Penunggang cedera parah, pembonceng maut

Tambahnya, ekoran kejadian itu, penunggang motosikal tersebut mengalami kecederaan patah bahu dan kaki kanan.

“Pemandu kereta berkenaan pula tidak mengalami sebarang kecederaan. Saringan awal ujian air kencing terhadap pemandu terbabit negatif dan ujian pernafasan menunjukkan tiada kandungan alkohol dalam darah.

“Lelaki itu telah direman selama tiga hari bermula hari ini dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas

Susulan kejadian itu, polis meminta saksi kejadian untuk tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan polis.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.

Sebelum ini, tular di media sosial yang mendakwa bahawa kemalangan itu berlaku disebabkan oleh kereta tersebut sedang berlumba dengan kereta lain.

Ia kemudiannya melanggar motosikal mangsa di hadapannya lalu menyebabkan kemalangan maut tersebut.

Sumber: Sinar Harian

The post Kanak-Kanak Empat Tahun Maut Dalam Kemalangan, Pemandu Warga Singapura Direman appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *