kad fleet skds

Kad Fleet Di Bawah SKDS Ada Had Pengisian Dari Segi Liter – LIM

PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) — Kementerian Kewangan (MoF) mengesahkan kad fleet di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan mempunyai had pengisian dari segi liter dan bukannya jumlah nilai.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata maklumat lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Terdapat had dari segi liter dan bukan jumlah, tetapi kita tunggu Menteri Kewangan II untuk buat pengumuman. Kami masih belum menetapkan had itu,” katanya kepada media selepas merasmikan Forum Dasar Cukai Malaysia yang keempat anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI) di sini hari ini.

Pada Ahad lepas, kerajaan mengumumkan harga runcit bahan api diesel ditetapkan RM3.35 seliter bermula semalam (10 Jun) di Semenanjung manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, kerajaan menetapkan harga diesel kepada sektor yang layak antaranya SKDS 2.0 bagi kenderaan logistik yang ditetapkan pada RM2.15 seliter, SKDS 1.0 bagi kenderaan pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba kekal pada RM1.88 seliter dan diesel bersubsidi bagi nelayan kekal pada RM1.65 seliter.

Ditanya rungutan pemilik kenderaan diesel persendirian bahawa bantuan subsidi tunai RM200 sebulan di bawah inisiatif BUDI MADANI tidak mencukupi, Lim berkata jumlah itu ditetapkan berdasarkan kajian dan libat urus yang telah dilakukan.

Beliau berkata RM200 akan dikekalkan sementara ini, namun jumlah itu akan dikaji semula sama ada terdapat keperluan untuk dinaikkan jumlahnya selepas mendapat maklum balas.

Sumber: BERNAMA

BACA: Rupanya Ini Maksud Stiker Huruf A, C, T, KA Yang Ditampal Pada Lori

The post Kad Fleet Di Bawah SKDS Ada Had Pengisian Dari Segi Liter – LIM appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *