jpj motosikal op khas

JPJ Sita 3,111 Motosikal Dalam Op Khas Seluruh Negara

MELAKA, 14 Sept (Bernama) — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengesan dan menyita sebanyak 3,111 motosikal di seluruh negara sepanjang Operasi Khas Motosikal bermula 1 Sept hingga semalam.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata kesemua kenderaan disita itu diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya.

“Tindakan ini juga bagi melengkapkan prosedur siasatan pelbagai kes kesalahan semasa dan rekod lampau pengendali motosikal seperti tiada insurans, tiada lesen memandu, ubah suai piawai keselamatan dan sebagainya.

“JPJ tidak merampas motosikal tetapi menyita bagi tujuan menghentikan kesalahan berulang dan berisiko tinggi bagi mengelakkan perkara tidak diingini iaitu menjurus kepada kecederaan parah atau kemalangan maut,” katanya kepada pemberita di Malim di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau hadir pada Operasi Khas Motosikal yang turut disertai Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa (Seksyen Dasar) JPJ Dr Azmi Awang dan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa (Seksyen Operasi) JPJ Mohd Azmi Jaafar.

Dalam pada itu, beliau berkata JPJ juga merancang untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membendung penjualan alat ganti kenderaan khususnya melibatkan modifikasi motosikal yang menyalahi undang-undang.

Katanya, setiap motor atau kenderaan yang dipasarkan dan didaftarkan bagi kegunaan di atas jalan raya di negara ini wajib melalui prosedur pemeriksaan oleh Jawatankuasa Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi mengesahkan spesifikasi yang memenuhi standard antarabangsa.

“JPJ hanya berkuasa bagi penguatkuasaan undang-undang di atas jalan raya, namun penjualan alat ganti yang tidak disahkan oleh JPJ sebagaimana diluluskan dalam VTA itu adalah di bawah tanggungjawab PBT jadi, lesen premis mereka mestilah mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

BACA: Motosikal Rider Disita: Lesen Dan Insurans Tamat Tempoh Bulan Februari – JPJ

The post JPJ Sita 3,111 Motosikal Dalam Op Khas Seluruh Negara appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *