jawatankuasa parlimen jualan rahmah

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Syor Tingkat Peruntukan Jualan Rahmah

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) — Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian Parlimen antara lain mengesyorkan peruntukan Program Jualan Rahmah ditingkatkan bagi tahun 2024.

Jawatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan syor yang dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa itu semalam adalah bagi membantu lebih ramai rakyat dalam meringankan beban kos sara hidup.

“Selain itu, jawatankuasa ini juga menyambut baik inisiatif Kad Insentif Menu Rahmah kepada peniaga Menu Rahmah yang dapat membeli bahan mentah dengan harga yang lebih murah dan langkah ini dipercayai boleh menggalakkan lebih ramai peniaga terlibat dalam menyediakan Menu Rahmah.

Jawatankuasa ini juga mengesyorkan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melibatkan lebih ramai peniaga tempatan untuk terlibat dalam program Jualan Rahmah supaya lebih ramai peniaga kecil mendapat peluang perniagaan,” kata jawatankuasa itu.

Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian Bil. 6 Tahun 2023 yang diadakan semalam melibatkan taklimat daripada KPDN mengenai program Payung Rahmah.

BACA JUGA: Pakej 5G RAHMAH RM60 Sebulan, Phone RM240 Dah Boleh Langgan Mulai Esok

Mesyuarat itu dihadiri Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas itu Cha Kee Chin (PH-Rasah); Edwin Banta (GPS-Selangau); Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) dan Manndzri Nasib (BN-Tenggara).

Ia turut disertai Tan Kar Hing (PH-Gopeng); Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang); Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu); dan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) serta wakil kementerian.

Menurut kenyataan itu, skop pembentangan Fuziah adalah mengenai Program Payung Rahmah meliputi inisiatif Menu Rahmah, Jualan Rahmah, Pakej Rahmah, Bakul Rahmah, Menu Siswa Rahmah dan Bazar Ramadan Rahmah.

Jawatankuasa itu turut merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memperkenalkan Program Payung Rahmah dan berharap program itu diteruskan pada masa akan datang.

Sumber: BERNAMA

The post Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Syor Tingkat Peruntukan Jualan Rahmah appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *