Gempa Bumi Maghribi Ragut Lebih 600 Nyawa

Gempa Bumi Maghribi: Angka Korban Terkini Meningkat Kepada Lebih 600 Orang

Sumber rasmi memaklumkan pada Sabtu, gempa bumi kuat yang melanda Maghribi malam tadi telah meragut lebih 600 nyawa.

Gegaran tersebut telah menyebabkan penduduk terpaksa keluar dari kediaman masing-masing dan meyelamatkan diri pada waktu tengah malam.

Pusat Pemantauan Geologi Amerika Syarikat melaporkan, gegaran gempa bumi dengan kekuatan 6.8 magnitud telah melanda kawasan pergunungan yang terletak 72 kilometer dari barat daya Marrakesh pada 11:11 p.m. waktu tempatan.

Gegaran kuat tersebut turut dirasai di beberapa bandar-bandar yang terletak di persisiran lautan seperti Rabat, Casablanca and Essaouira.

Dalam pada itu, media Maghribi melaporkan bahawa bencana tersebut merupakan gempa bumi terkuat yang pernah dialami negara tersebut.

“Kami dapat rasa gegaran yang sangat kuat, dan saya sedari bahawa itu adalah gempa bumi,” Abdelhak El Amrani (33) memberitahu AFP menerusi panggilan telefon ketika berada di Marrakesh.

“Saya dapat melihat bangunan terumbang ambing” kata Amrani.

Lelaki tersebut telah keluar bersama orang ramai ketika gegaran tersebut berlaku.

“Semua terkejut dan panik. Kanak-kanak menangis dan ibu bapa kelihatan mati akal.

“Bekalan elektrik putus selama 10 minit, dan begitu juga dengan rangkaian talian telefon. Tetapi, kedua-duanya kembali seperti biasa.

“Semua orang membuat keputusan untuk berada di luar bangunan,” tambahnya.

BACA: Tular, Lelaki Sempat Selamatkan PS5 Ketika Gempa Bumi Kuat Landa Maghribi

Berdasarkan maklumat terkini yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri, seramai 632 mangsa terbunuh dalam insiden terbabit.

Menerusi angka tersebut, lebih daripada separuh mangsa yang terkorban dilaporkan berada di wilayah Al-Haouz dan Taroudant.

Kementerian tersebut turut mencatatkan beberapa kematian di wilayah Ouarzazate, Chichaoua, Azilal dan Youssoufia.

Begitu juga dengan beberapa kawasan seperti Marrakesh, Agadir dan termasuklah Casablanca.

Manakala, 329 mangsa dilaporkan cedera, termasuklah 51 mangsa yang berada dalam keadaan kritikal, menurut kementerian tersebut.

Bukan itu sahaja, gegaran gempa bumi terbabit turut dirasai di negara jiran, Algeria. Sungguhpun begitu, Jabatan Pertahanan Awam Algeria memaklumkan bahawa gegaran tersebut tidak mendatangkan apa-apa kemusnahan mahupun kemalangan jiwa.

Pada 2004, lebih dari 628 mangsa terbunuh dan 926 dilaporkan cedera ketika gempa bumi melanda Al Hoceima di timur laut Maghribi.

Manakala, gempa bumi dengan 6.7 magnitud di Agadir telah meragut lebih dari 12,000 nyawa pada 1960.

BACA: Cara Fresh Grad Nak Buat Resume Mantap Abad Ke-20

Sumber: AFP

The post Gempa Bumi Maghribi: Angka Korban Terkini Meningkat Kepada Lebih 600 Orang appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *