gajah tertua malaysia lokimala

Gajah Tertua Malaysia, Lokimala Mati Pada Usia 86 Tahun

Gajah tertua di Malaysia, Lokimala dilaporkan telah ‘pergi’ buat selama-lamanya pada usia 86 tahun disebabkan sakit tua, semalam.

Berita meruntun jiwa ini telah dimaklumkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerusi akaun rasmi X (@PERHILITAN).

“Pada 8 September 2023 jam lebih kurang 10.54 pagi, Lokimala telah menghembuskan nafas terakhirnya,” katanya.

Menurut PERHILITAN, usia kematiannya 86 tahun bersamaan dengan gajah tertua Taiwan yang juga diketahui mati pada usia 86 tahun yang dikenali ‘Lin Wang’.

LOKIMALA JASAMU DIKENANG

Pada 8 September 2023 jam lebih kurang 10.54 pagi, Lokimala telah menghembuskan nafas terakhirnya. Usia kematiannya 86 tahun bersamaan dengan gajah tertua yang diketahui mati pada usia 86 tahun dikenali 'Lin Wang'.

Dalam ingatan, Lokimala (1938 – 2023) pic.twitter.com/PDkhpvpdQB

— Jabatan PERHILITAN (@PERHILITAN) September 9, 2023

Untuk makluman, Lokimala telah dibawa masuk dari Assam, India pada 22 Jun 1974, ketika berusia 27 tahun.

Gajah betina milik Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang telah menjadi gajah denak di pusat terbabit.

Sepanjang hayat Lokimala, gajah itu terlibat dalam operasi memindahkan lebih 150 ekor gajah liar di beberapa negeri.

Selain berjasa besar, gajah tersebut turut dikenali dengan sifatnya yang mudah dikawal, jinak, rajin dan bersaiz besar.

Memiliki jasa yang yang besar sepanjang berkhidmat sebagai gajah denak di PKGK

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, Lokimala berkhidmat dengan Unit Kebajikan Gajah dan Unit Pengurusan Gajah sepanjang berada di Malaysia.

Jelasnya, Lokimala kemudiannya menyertai pasukan PKGK sebagai gajah denak. Haiwan ini terlibat dalam pelbagai operasi pemindahan gajah liar yang ditangkap di Semenanjung Malaysia.

Untuk makluman, gajah denak adalah gajah yang dilatih untuk memudahkan kerja-kerja pemindahan gajah liar yang mengganggu ketenteraman atau membahayakan keselamatan orang awam.

“Lokimala dibawa masuk ke negara ini bersama tiga lagi gajah dari India bernama Ganesh, Lal Bahadul dan Paul Bahadul bagi membantu kerja tangkapan dan pemindahan gajah liar oleh PKGK.

“Selain bertugas dalam operasi pemindahan gajah liar, Lokimala sebelum ini turut terbabit aktiviti pertunjukan untuk tontonan pelancong yang datang ke PKGK,” kata Che Ku pada hari ini.

Tambahnya, tahap kesihatan gajah berkenaan dilaporkan kurang memuaskan sejak beberapa tahun lalu. Oleh sebab itu, pihaknya mengambil keputusan untuk merehatkan Lokimala pada 2007, ditambah dengan faktor usianya yang semakin lanjut.

Selain itu, Che Ku memaklumkan bahawa seorang kakitangan ditugaskan menjaga sepenuhnya gajah tersebut. Antara tugasannya adalah menguruskan makanan, minuman, rawatan dan membersihkan tempat tinggal gajah betina itu.

“Tahap kesihatan Lokimala semakin menurun pada Khamis sehingga tidak dapat berdiri dan pernafasannya semakin perlahan, seterusnya mati kira-kira jam 10.54 pagi Jumaat serta ditanam dalam kawasan PKGK pada hari sama selepas bedah siasat,” katanya.

BACA: Cara Fresh Grad Nak Buat Resume Mantap Abad Ke-20

Sumber: Sinar Harian, PERHILITAN via X

The post Gajah Tertua Malaysia, Lokimala Mati Pada Usia 86 Tahun appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *