enam motosikal hangus

Enam Motosikal Hangus Dalam Kebakaran Di Cheras

KUALA LUMPUR — Satu kebakaran dilaporkan berlaku melibatkan enam buah motosikal di Pangsapuri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, pada malam Selasa.

Memetik Astro Awani, kesemua motosikal itu hangus dalam kejadian sekitar jam 9 malam. Difahamkan kebakaran itu turut membabitkan sebuah bilik kelas fardu ain (KAFA).

Menurut Komander operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Hisam Mamat, pada jam 9.14 malam, pihaknya menerima panggilan kecemasan.

Berikutan itu, seramai 11 anggota bersama satu jentera dan satu jentera unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Sewaktu tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati sembilan motosikal terlibat dalam kebakaran berkenaan. Enam daripadanya dilapor terbakar sepenuhnya manakala tiga lagi hanya 10 peratus.

“Kebakaran turut membabitkan sebuah bilik KAFA dengan kemusnahan dianggarkan lima peratus,” kata Mohd Hisham.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran berjaya dipadam pada jam 9.56 malam.

Walau bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sembilan Motosikal, Empat Skuter Elektrik Musnah Dalam Kebakaran

Pada April lalu, sembilan motosikal dan empat skuter elektrik musnah dalam kebakaran di hadapan pusat beli-belah Suria KLCC, lapor Bernama.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, kejadian berlaku pada jam 3.45 petang.

Difahamkan, seramai 15 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tun Razak dan Keramat telah dikerahkan ke tempat kejadian.

BACA JUGA: Lelaki Bakar 13 Motosikal Ditahan Di KLCC – Polis

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, kita mendapati terdapat insiden kebakaran 13 buah motosikal dan empat buah skuter elektrik.

“Sembilan motosikal dan empat skuter elektrik terbakar sepenuhnya manakala empat motosikal yang lain, terbakar antara tiga hingga 20 peratus,” maklumnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu pada 2022, sebanyak 34 buah motosikal dilaporkan terbakar di kawasan parkir di Blok G, Projek Perumahan Rakyat Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, lapor Sinar Harian.

Difahamkan, insiden itu dipercayai berpunca daripada angkara khianat.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, insiden tersebut disiasat mengikut Kanun Keseksaan Khianat dengan api di bawah Seksyen 435.

Sumber: Astro Awani

The post Enam Motosikal Hangus Dalam Kebakaran Di Cheras appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *