dua maut rentung kereta lori kontena

Dua Rentung Dalam Nahas Kereta Bertembung Lori Kontena

Dua individu dilaporkan maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan lori kontena dan terbakar di Jalan Kuala Garing, Rawang hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang telah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 3.53 pagi.

Jelasnya, kedua-dua mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an telah ditemui rentung di lokasi kemalangan.

“Sampai di lokasi mendapati dua mangsa rentung membabitkan warga tempatan iaitu lelaki berusia 26 tahun dan wanita berusia 23 tahun,” katanya.

Ahmad Mukhlis turut mengatakan hampir keseluruhan kereta dijilat api, manakala separuh daripada badan lori terbakar dalam insiden terbabit.

“Kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Honda City terbakar 70 peratus, manakala sebuah lori kontena juga terbakar sebanyak 50 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, hanya pemandu lori kontena yang terselamat dalam insiden tersebut. Hal ini disebabkan pemandu tersebut sempat keluar daripada kenderaannya sebelum dijilat api yang marak.

Susulan itu, kedua-dua mayat telah dibawa ke Hospital Selayang untuk menjalani proses bedah siasat, ujar Ahmad Mukhlis.

Api marak, viral dashcam rakam ada kenderaan terbakar di Lebuhraya MEX semalam

Terdahulu, satu kejadian kebakaran melibatkan kenderaan berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) berdekatan susur keluar ke Kuala Lumpur, sekitar 7.09 pagi semalam.

Menerusi hantaran pengguna di laman X, rakaman yang diambil dari kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan insiden terbabit dari arah yang bertentangan.

Klip video pendek tersebut menunjukkan keadaan kenderaan yang berada pada lorong kanan berdekatan pembahagi jalan yang sedang dijilat api.

Berdasarkan rakaman tersebut, kelibat pasukan penyelamat dan pasukan perubatan turut kelihatan berada di lokasi kejadian.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), dua kereta berupa Nissan X-Trail dan Perodua Myvi terlibat dalam kemalangan terbabit.

Tambahnya, kedua-dua kenderaan tersebut dilaporkan musnah sepenuhnya apabila terbakar sebanyak 100 peratus.

BACA: Jadi Kegilaan Ramai, Menu Ais Panggang Bersalut Kuah & Rempah ‘Laku Keras’ Di China

Sumber: Sinar Harian

The post Dua Rentung Dalam Nahas Kereta Bertembung Lori Kontena appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *